PRN MELAKA: TIGA BERADIK KONGSI PENGALAMAN KALI PERTAMA MENGUNDI

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

SUNGAI UDANG 14 November – Pengalaman pertama melangkah ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bertam Hulu menjadi kenangan indah buat tiga beradik apabila masing-masing menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali pertama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Muhammad Fakhrul Naim Umar, 22, bersama adiknya, Bibi Farhanah Najwa, 21 dan Muhammad Fharish Nazwan, 18, hadir ditemani ibunya membawa harapan agar pilihan mereka dapat menyumbang kepada masa depan yang lebih baik.

Bagi Fakhrul yang juga anak sulung, baru pulang daripada kerja syif malam kira-kira jam 8 pagi tadi bukan penghalang kepada dirinya untuk terus ke pusat mengundi bagi menunaikan tanggungjawabnya.

Pekerja kilang itu berkata, dia bersama keluarganya tiba di pusat mengundi sekitar jam 9.30 pagi dan melalui proses pengundian dengan lancar.

“Sampai pun tidak terlalu awal, tidak terlalu lambat, semuanya (proses membuang undi) berjalan lancar,” katanya.

Terdahulu, tiga beradik dan ibunya teruja disapa calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin yang meninjau suasana pembuangan undi di pusat mengundi terbabit.

Walaupun baru pertama kali mengundi, Muhammad Fakhrul Naim mempunyai harapan tersendiri, khususnya terhadap usaha memperbaiki keadaan ekonomi yang turut memberikan kesan kepada kehidupannya.

“Harap mungkin boleh memperbetulkan lagi ekonomi yang sedia ada sekarang.

“Sebelum ini tak pernah mengundi, kita tak tahu apa namun kali dapat rasalah impaknya itu. Jadi, bila dah mengundi ini, harap (ekonomi) jadi lebih baiklah, lebih elok,” katanya.

Nada sama disuarakan adik lelakinya, Muhammad Fharish Nazwan yang mahu wakil rakyat dipilih bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab.

Dia berkata, pengalaman keluarganya menerima bantuan menjadi antara perkara yang dekat di hati ketika berbicara mengenai harapan terhadap wakil rakyat.

“Jika tanya saya, saya mahu memilih calon yang banyak membantu kami sekeluarga sebab keluarga kami ramai, ada sembilan orang jadi kita kena sokong calon yang banyak menjaga kebajikan kami termasuk dari segi keperluan asas dan pendidikan,” katanya.

Sementara itu, Bibi Farhanah yang merupakan anak kedua melihat pengalaman pertama mengundi sebagai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

Baginya, peluang menentukan pilihan melalui peti undi tidak seharusnya dipandang ringan.

“Kami keluar mengundi sebab ada rasa tanggungjawab. Ada orang ambil ringan, tapi kita rasa kita ada tanggungjawab, kita perlu mengundi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

263
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: BELANJA RM700 PULANG DARI SARAWAK, ASHIRA TERUJA UNDI KALI PERTAMA
Next post PRN MELAKA: UNDI SULUNG EIMAN IRDINA, DOA IRINGI LANGKAH AYAH DI TELOK MAS