PRN MELAKA: UNDI SULUNG EIMAN IRDINA, DOA IRINGI LANGKAH AYAH DI TELOK MAS

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

TELOK MAS 14 November – Suasana hari pengundian yang disifatkan seperti sambutan Hari Raya menambahkan keterujaan Eiman Irdina Abdul Razak, 18, apabila berpeluang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali pertama bersama ahli keluarganya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, hari ini.

Anak kepada penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman itu berkata, dia teruja dapat merasai sendiri pengalaman pertama mengundi, selain bersyukur apabila proses berkenaan berjalan lancar.

Menurutnya, walaupun sedikit kekok kerana pertama kali melalui proses pengundian, bantuan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memudahkannya menyelesaikan urusan berkenaan.

“Sebagai pengundi kali pertama dan Gen Z, saya memang teruja untuk mengundi buat kali pertama dan alhamdulillah, semuanya berjalan lancar selain prosesnya juga mudah.

“Suasana agak meriah dan kami sekeluarga awal pagi sudah bersiap sebelum sama-sama ke pusat mengundi bagi menunaikan tanggungjawab. Suasana ini boleh dikatakan seperti Hari Raya,” katanya selepas selesai mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas, di sini, hari ini.

Eiman Irdina berharap golongan muda khususnya tidak melepaskan peluang untuk keluar mengundi dan menggunakan hak masing-masing dalam menentukan wakil rakyat pilihan mereka.

“Peluang mengundi buat kali pertama merupakan pengalaman cukup bermakna dan saya sememangnya teruja menantikan detik ini.

“Saya berharap anak muda lain tidak melepaskan peluang ini untuk keluar mengundi sekali gus menentukan wakil rakyat pilihan mereka,” katanya.

Dalam keterujaan menyertai proses demokrasi itu, Eiman Irdina mengakui turut berdebar menantikan keputusan PRN kali ini, lebih-lebih lagi bapanya merupakan antara calon yang bertanding.

“Malah, saya tidak dapat tidur lena malam tadi kerana terlalu teruja untuk mengundi, selain berasa berdebar memikirkan nasib ayah yang turut bertanding,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

253
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: TIGA BERADIK KONGSI PENGALAMAN KALI PERTAMA MENGUNDI
Next post PRN MELAKA: DIUJI STROK PADA USIA MUDA, SYAMSINAR TETAP SEMANGAT MENGUNDI KALI PERTAMA