PRN MELAKA: DIUJI STROK PADA USIA MUDA, SYAMSINAR TETAP SEMANGAT MENGUNDI KALI PERTAMA

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

TANJUNG BIDARA 14 November – Meskipun masih bergantung kepada kerusi roda dan bantuan keluarga untuk menguruskan keperluan harian, keadaan itu tidak mematahkan semangat Syamsinar Abdullah, 21, untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali pertama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, hari ini.

Dengan ditemani bapanya, Abdullah Abd Rahman, 71, serta kakak dan abangnya, Syamsinar tiba di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram kira-kira jam 8.30 pagi bagi merasai pengalaman pertama membuang undi.

Syamsinar berkata, dia teruja dapat hadir ke pusat mengundi walaupun masih menjalani proses pemulihan selepas diserang strok ketika memandu kira-kira setahun lalu.

“Ini kali pertama saya mengundi. Walaupun sakit, saya tetap seronok dapat datang mengundi.

“Seronok juga lihat kemeriahan PRN Melaka kali ini yang dihiasi bendera parti berwarna biru, merah dan kuning yang digantung di sepanjang jalan,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat pengundian berkenaan, di sini, hari ini.

Mengimbas kejadian yang mengubah kehidupannya, Abdullah berkata, anak bongsunya itu diserang strok secara tiba-tiba ketika memandu pulang ke rumah selepas bercuti di kediaman kakaknya di Alor Gajah pada 17 November 2025.

Menurutnya, Syamsinar sempat menghubungi kakaknya selepas mengalami sakit dada sebelum diminta memberhentikan kenderaan di tepi jalan untuk mendapatkan bantuan.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi, anaknya sudah tidak sedarkan diri sebelum dibawa mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran dan seterusnya dirujuk ke Hospital Alor Gajah.

“Dia kemudian dirujuk ke Hospital Melaka sebelum menjalani pembedahan selepas doktor mengesan berlaku pendarahan dalam otak.

“Selepas itu, dia dipindahkan pula ke sebuah hospital di Klang, Selangor untuk menjalani satu lagi pembedahan,” katanya.

Abdullah berkata, Syamsinar menerima rawatan di hospital selama lebih dua bulan, iaitu kira-kira dua bulan 17 hari sebelum dibenarkan pulang.

Katanya, anaknya kini masih perlu menjalani rawatan susulan setiap bulan di Hospital Melaka dan Hospital Alor Gajah, selain memerlukan bantuan keluarga dalam menguruskan keperluan hariannya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

380
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: UNDI SULUNG EIMAN IRDINA, DOA IRINGI LANGKAH AYAH DI TELOK MAS
Next post PRN MELAKA: 67.7 PERATUS KELUAR MENGUNDI SETAKAT 4.30 PETANG