
PRN MELAKA: 42 LAPORAN POLIS, 32 KERTAS SIASATAN DIBUKA
AYER KEROH 14 November – Sebanyak 32 kertas siasatan dibuka daripada 42 laporan polis diterima berhubung pelbagai isu sepanjang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka ke-16.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, laporan berkenaan antaranya membabitkan perbuatan mencabut dan membakar bendera serta ucapan individu tertentu yang mempunyai kaitan dengan unsur hasutan.
Menurutnya, kesemua kertas siasatan berkenaan telah dikemukakan kepada pihak pendakwa raya dan polis kini menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Sepanjang tempoh ini saya dimaklumkan bahawa 42 laporan polis telah dibuat berhubung dengan isu-isu yang berkait PRN Melaka.
“Pihak polis telah membuka 32 kertas siasatan yang saya percaya dan yakin pihak polis akan melakukan siasatan yang terbaik secara profesional tanpa memihak kepada mana-mana pihak atau mana-mana parti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sidang Media Sempena Hari Mengundi PRU DUN Melaka ke-16 oleh Ketua Polis Negara, di Sekolah Kebangsaan Tun Syed Ahmad Shahabudin, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Dzulkhairi Mukhtar.
Mohd Khalid berkata, tindakan menyiasat setiap laporan dilaksanakan secara profesional bagi memastikan proses penguatkuasaan undang-undang tidak dipengaruhi kepentingan mana-mana pihak.
“Kesemuanya ini kita telah kemukakan kepada pihak pendakwa raya. Kertas siasatan yang saya sebutkan tadi sebanyak 32 ini telah kita kemukakan, kita masih lagi menunggu arahan lanjut daripada pihak AGC,” katanya.
Mengulas pertanyaan mengenai ucapan seorang tokoh ternama yang didakwa mempunyai unsur hasutan, beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 dan Seksyen 298 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, kertas siasatan berhubung perkara itu telah disempurnakan dan dikemukakan kepada AGC untuk tindakan selanjutnya.
Beliau turut memaklumkan individu berkenaan akan dipanggil memberikan keterangan, namun tidak memperincikan identitinya dalam jawapan tersebut.
Dalam pada itu, Mohd Khalid menyeru semua pihak yang terlibat dalam pilihan raya supaya mematuhi peraturan, arahan dan undang-undang bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


