PRN MELAKA: KEMENANGAN BN BUKTI RAKYAT NILAI PRESTASI, BUKAN PROPAGANDA – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

SERI NEGERI 15 November – Kemenangan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti lebih besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 disifatkan sebagai terjemahan keyakinan rakyat terhadap prestasi dan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam menyantuni masyarakat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, pelaksanaan pelbagai program turun padang termasuk Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), Program Hari Exco Bertemu Rakyat (HEBAT) dan Jelajah Ketua Menteri menjadi antara usaha yang membuktikan kesungguhan pasukan pentadbiran negeri bekerja untuk rakyat.

Beliau berkata, pendekatan itu mencerminkan komitmen sebuah pasukan dinamik yang terus memberikan tumpuan kepada kepentingan rakyat meskipun berdepan pelbagai cabaran termasuk fitnah, tohmahan dan hasutan.

“Saya yakin terjemahan rakyat pada pilihan raya kali ini ialah hasil daripada pengorbanan, hasil kerja kita yang dinilai oleh rakyat.

“Kita merupakan sebuah pasukan dinamik, sebuah pasukan berprestasi yang sentiasa bekerja dan tidak mempedulikan hal ehwal yang datang menentang kita, sama ada unsur fitnah, tohmahan ataupun hasutan. Kita terus bekerja untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Ab Rauf berkata, keberkesanan pendekatan turun padang itu turut dapat dilihat menerusi penyelesaian kira-kira 75 peratus daripada 4,000 aduan yang diterima melalui program WRUR.

Menurutnya, pencapaian itu merupakan hasil yang kembali kepada rakyat, manakala wakil rakyat berperanan sebagai penghubung antara masyarakat dengan agensi kerajaan bagi memudahkan urusan serta memastikan bantuan dapat disalurkan tanpa sebarang kesulitan.

“Kita merupakan instrumen menjadi jambatan antara rakyat dan urusan kerajaan. Memanglah menjadi wakil rakyat ini untuk memudahkan urusan rakyat dengan kerajaan, jangan dipersulitkan.

“Kita nak jadi wakil rakyat, kita kena jadi rakyat. Rakyat tahu di mana tempat untuk mengadu dan meminta pertolongan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua wakil rakyat supaya menerima tanggungjawab yang diberikan dengan hati terbuka kerana mereka sendiri telah memilih untuk memikul amanah berkenaan.

“Saya harap semua wakil rakyat kena terima dengan hati terbuka kerana kita pilih untuk jadi wakil rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

211
Kongsi :
Previous post LANTIKAN EXCO BAHARU: ‘DEKATNYA TIDAK SEJENGKAL, JAUHNYA TIDAK SEDEPA’ – AB RAUF
Next post AB RAUF TERBUKA KERJASAMA POLITIK BAWA MANFAAT, BUKAN MUDARAT