ISU BANJIR, PERPARITAN JADI KEUTAMAAN CIKGU MUS

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

SERI NEGERI 16 November – Penyelesaian masalah banjir dan penambahbaikan sistem perparitan di kawasan berisiko menjadi antara keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Dr. Mustafa Musa selepas memperoleh mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Katanya, kawasan rendah kerap berdepan risiko banjir perlu diberikan perhatian segera dengan melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan kemudahan perparitan.

Mesra dengan panggilan Cikgu Mus, beliau berkata keperluan pendidikan termasuk pembinaan sekolah baharu dan penambahbaikan fasiliti pendidikan sedia ada juga diberikan perhatian bagi memastikan anak-anak Durian Tunggal belajar dalam suasana lebih kondusif seterusnya menyumbang kepada kecemerlangan akademik.

“Saya juga tidak melupakan aspek kualiti kehidupan rakyat, kebajikan perlu dijaga khusus pesakit terlantar yang diuji dengan masalah kesihatan dan orang kurang upaya (OKU).

“Bagi memperkasa pembangunan modal insan, saya juga sedang merangka untuk menganjurkan lebih banyak program untuk orang muda, seterusnya menjadikan Durian Tunggal sebagai DUN yang hebat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, pada Ahad.

Mustafa berkata, semua keperluan itu mungkin tidak dapat diselesaikan secara serentak, namun beliau memberi komitmen untuk melaksanakan usaha berkenaan secara berperingkat.

“Ini adalah azam saya dan insya-Allah mungkin kita tidak boleh selesaikan secara sekali gus, tetapi keutamaan saya adalah untuk mendengar suara rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

419
Kongsi :
Previous post ‘ACIK ZUL’ MAHU PERJUANG PERUNTUKAN KHAS, BANTU KEDIAMAN DAIF ORANG ASLI