
MAJORITI TERTINGGI BUKAN UNTUK BERMEGAH – RAIS
SERI NEGERI 17 November – Kemenangan dengan majoriti tertinggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 bukan untuk dibanggakan, sebaliknya amanah besar yang mesti ditunaikan, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin.
Rais berkata, kemenangan besar itu membawa tanggungjawab yang perlu diinsafi dan tidak seharusnya menjadi alasan untuk berbangga atau bermegah-megah.
“Memang betul, saya adalah antara yang menerima undian tertinggi. Tetapi bagi saya, ini bukanlah masa untuk kita berbangga ataupun bermegah-megah. Ini adalah suatu mandat yang besar daripada rakyat untuk kita insafi.
“Jadi, insya-Allah, saya tidak akan mensia-siakan mandat yang diberikan ini. Apa jua yang kita telah tawarkan, kita akan cuba sedaya upaya untuk kita laksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, pada Ahad.
Pengundian berlangsung pada Sabtu menyaksikan Rais yang mewakili Barisan Nasional (BN) memperoleh 18,317 undi dan mencatatkan majoriti tertinggi PRN Melaka ke-16 sebanyak 16,214 undi.
Beliau menewaskan calon Bersatu, Mejar (B) Abdullah Mahadi yang meraih 2,103 undi serta calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), Mohd Ridzuan Abdul Rahman dengan 1,322 undi dalam pertandingan tiga penjuru.
Selain itu Rais turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh atas sokongan serta peluang yang diberikan kepadanya.
Menurutnya, kerja keras jentera BN dan Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Tangga Batu turut membantu kejayaan di keempat-empat DUN dalam kawasan Parlimen berkenaan.
“Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana dengan kerja kuat daripada anda semua, hari ini kita berjaya menang dengan besar di keempat-empat DUN.
“Alhamdulillah, kita akan berusaha untuk tunaikan segala apa yang telah kita tawarkan,” katanya.
Keputusan rasmi menyaksikan Sungai Udang, Pantai Kundor dan Kelebang dimenangi BN, manakala Paya Rumput dimenangi PN.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada rakyat Melaka atas kepercayaan yang terus diberikan kepada kepimpinan Kerajaan Negeri.
“Terima kasih, terima kasih daripada saya, hati ke hati kerana anda terus mempercayai kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

