
‘POGHUT AYER LIMAU’ BAKAL BERKEMBANG, ANAK MUDA DAN PENDIDIKAN JADI FOKUS HAMEED
SERI NEGERI 15 November – Gagasan Poghut Ayer Limau bakal diperkasakan menerusi penambahan komponen baharu bagi memastikan lebih banyak komuniti mendapat manfaat daripada inisiatif berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pendekatan menyantuni masyarakat akan diteruskan pada penggal baharu dengan memberi tumpuan kepada penambahbaikan kawasan serta agenda pembangunan anak muda dan pendidikan.
Menurutnya, komitmen terhadap dua bidang berkenaan yang turut diberi perhatian sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 akan diteruskan bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat.
“Alhamdulillah, kita akan terus menyantuni rakyat dan melihat penambahbaikan di DUN Ayer Limau. Tumpuan utama yang saya janjikan sepanjang kempen, iaitu fokus kepada anak muda dan pendidikan, akan diteruskan.
“Program Poghut Ayer Limau juga akan dikembangkan lagi dengan memperbanyakkan komponen dalam program ini supaya kita dapat memberi fokus kepada semua komuniti yang ada di daerah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, hari ini.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, Hameed yang mewakili Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi DUN Ayer Limau dengan memperoleh 10,116 undi dan majoriti 8,753 undi, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Mejar (B) Jaimi Dimon yang memperoleh 1,363 undi.
Keputusan itu menyaksikan peningkatan majoriti sebanyak 7,668 undi berbanding PRN 2021 apabila beliau memenangi kerusi sama dengan majoriti 1,085 undi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


