‘RAKYAT BUKAN LIHAT SAYA SAHAJA, TAPI YAKIN GABUNGAN BN-PN’ – HAMEED

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

SERI NEGERI 16 November – Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 disifatkan sebagai hasil keyakinan rakyat terhadap kerjasama gabungan BN dan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, keputusan itu bukan semata-mata mencerminkan sokongan terhadap dirinya secara peribadi, sebaliknya kepercayaan pengundi terhadap gabungan yang diyakini mampu membawa perubahan kepada kehidupan rakyat.

“Alhamdulillah, rakyat bukan melihat saya, tetapi melihat parti Barisan Nasional dengan gabungan bersama Perikatan Nasional, sebuah gabungan yang sangat baik dan diyakini boleh mengubah nasib hidup rakyat.

“Pastinya gabungan dan parti yang mengetuai ini memang memberikan fokus kepada pembangunan negeri serta rakyat Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, pada Ahad.

Pada PRN Melaka Ke-16, Hameed berjaya mempertahankan kerusi DUN Ayer Limau dengan memperoleh 10,116 undi dan majoriti 8,753 undi, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Mejar (B) Jaimi Dimon yang mendapat 1,363 undi.

Jumlah majoriti itu meningkat ketara berbanding PRN 2021 apabila Hameed turut memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 1,085 undi.

Kemenangan tersebut menyaksikan majoriti BN di DUN Ayer Limau meningkat sebanyak 7,668 undi, sekali gus memperlihatkan perubahan ketara pada keputusan pilihan raya di kawasan berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

392
Kongsi :
Previous post ISU BANJIR, PERPARITAN JADI KEUTAMAAN CIKGU MUS