MANDAT BESAR PENGUNDI AYER MOLEK BUAT MOHD RIDHWAN

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

SERI NEGERI 15 November – Kemenangan dengan majoriti lebih 13,000 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 menjadi amanah besar buat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali untuk memenuhi harapan serta aspirasi rakyat di kawasan itu.

Beliau berkata, mandat diberikan pengundi mencerminkan kepercayaan dan harapan tinggi rakyat terhadap kepimpinannya selain menjadi tanggungjawab untuk memastikan segala perancangan termasuk isu dibangkitkan sepanjang tempoh kempen diberi perhatian.

“Alhamdulillah dan terima kasih khususnya kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek yang memberi kepercayaan kepada saya bagi mewakili suara mereka.

“Dengan mandat diberikan ini, saya bersama kepimpinan akan berusaha sebaik mungkin untuk menyantuni keperluan semua lapisan masyarakat termasuk merealisasikan perkara yang telah dirancang demi kesejahteraan penduduk.

“Setiap undi yang diberikan kepada saya merupakan satu kepercayaan dan amanah besar yang perlu ditunaikan sebaik mungkin dalam memastikan segala keperluan serta kebajikan rakyat terus diberi perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Mohd Ridhwan berkata, kemenangan di DUN Ayer Molek pada PRN Melaka Ke-16 turut didorong rekod prestasi baik Barisan Nasional (BN) serta semangat penyatuan ummah yang menyaksikan pelbagai pihak berganding bahu sepanjang proses pilihan raya.

“Kemenangan ini adalah susulan daripada keyakinan rakyat terhadap pentadbiran BN dibantu dengan penyatuan ummah bersama rakan strategik.

“Malah dalam tempoh berkempen juga semua pihak memainkan peranan terutamanya jentera yang bekerja keras bagi memastikan kejayaan dapat dicapai.

“Oleh itu, saya akan terus komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang bagi memastikan mandat yang diberikan ini dapat diterjemahkan menerusi usaha pembangunan serta pembelaan kebajikan penduduk Ayer Molek,” katanya.

Terdahulu, pada PRN Melaka Ke-16, Mohd Ridhwan memenangi kerusi DUN Ayer Molek dengan majoriti 13,108 undi selepas memperoleh 16,312 undi dalam pertembungan satu lawan satu, sekali gus menewaskan calon Pakatan Harapan (PH).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

264
Kongsi :
Previous post SUBUH HINGGA TENGAH MALAM, TOK AZMAN TERUS BERKHIDMAT