SUBUH HINGGA TENGAH MALAM, TOK AZMAN TERUS BERKHIDMAT

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

SERI NEGERI 15 November – Jadual kerja dari awal pagi hingga tengah malam kekal menjadi komitmen Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam, Datuk Azman Abdullah dalam memastikan kebajikan dan keperluan rakyat di kawasan itu terus diberi perhatian.

Beliau berkata, tiada perubahan terhadap pendekatan kerja yang diamalkan sebelum ini, sebaliknya akan meneruskan rutin sama sepanjang tempoh diberikan mandat sebagai wakil rakyat.

“Gerak kerja seperti biasa. Dari subuh hingga ke tengah malam tetap akan saya jalankan demi rakyat dan warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Mengulas kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, Azman berkata, beliau bersyukur dan tidak menyangka memperoleh majoriti yang agak besar.

“Kepercayaan pengundi itu menjadi tanggungjawab yang perlu digalas sebaik mungkin sehingga tamat tempoh perkhidmatannya,” katanya.

Pada PRN Melaka Ke-16, Azman yang mewakili Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi DUN Serkam dengan 14,632 undi, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Faiq Azman yang memperoleh 1,943 undi dan calon Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), Muhamad Saffie Md Yasan dengan 425 undi.

Kemenangan itu menyaksikan Azman memperoleh majoriti 12,689 undi, sekali gus mencatat kemenangan selesa dalam persaingan tiga penjuru bagi kerusi berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

179
Kongsi :
Previous post ‘POGHUT AYER LIMAU’ BAKAL BERKEMBANG, ANAK MUDA DAN PENDIDIKAN JADI FOKUS HAMEED
Next post MANDAT BESAR PENGUNDI AYER MOLEK BUAT MOHD RIDHWAN