
TANGANI BANJIR JADI MISI PERTAMA NADARAJAH DI GADEK
SERI NEGERI 15 November – Masalah banjir yang sekian lama membelenggu penduduk menjadi antara keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek, S. Nadarajah selepas diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Beliau berkata, pengalaman melihat sendiri kesusahan penduduk yang terjejas akibat banjir sepanjang tempoh berkempen mendorongnya untuk memberi perhatian serius terhadap usaha menangani masalah berkenaan.
Menurutnya, langkah awal yang akan dilaksanakan adalah mengumpulkan data berkaitan kejadian banjir sebelum merancang tindakan penyelesaian bersama jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan.
“Perkara yang kerap mengganggu fikiran saya ialah masalah banjir. Ketika kempen, saya sendiri telah melihat dan merasai bagaimana penderitaan masyarakat yang terjejas akibat banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, hari ini.
Pada PRN Melaka Ke-16, Nadarajah yang mewakili Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi DUN Gadek dengan memperoleh 6,472 undi dan majoriti 3,514 undi.
Beliau menewaskan tiga pencabar iaitu K. Jegasilan daripada Pakatan Harapan (PH-DAP), B. Laveen daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan Laila Norinda Maon daripada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).
Keputusan itu menyaksikan kerusi berkenaan kekal dikuasai BN selepas penyandang sebelum ini, Datuk V.P. Shanmugam turut memenanginya pada PRN 2021 dengan majoriti 559 undi.
Mengulas lanjut, Nadarajah berkata, pengumpulan maklumat berkaitan kawasan yang sering dilanda banjir penting bagi membolehkan perancangan mitigasi dibuat secara lebih tersusun dan berkesan.
“Saya akan kumpul data-data akibat banjir dan juga merancang serta melaksanakan tindakan bersama jabatan-jabatan yang terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan komitmen untuk terus memperjuangkan kesejahteraan penduduk Gadek, termasuk membawa cadangan peruntukan atau bajet khusus bagi menyokong pembangunan kawasan berkenaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


