TIDAK ‘MERUNTUHKAN YANG LAMA’, TAPI BINA LENDU LEBIH BAIK – ABDUL HAKIM

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

SERI NEGERI 17 November – Tidak berhasrat merombak usaha sedia ada, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada penambahbaikan berdasarkan keperluan dan aduan penduduk menjadi pendekatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid selepas menerima mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Beliau berkata, pelbagai isu dan masalah yang dibangkitkan masyarakat ketika sesi bertemu penduduk sepanjang tempoh kempen akan diberi perhatian serta diusahakan penyelesaiannya.

Menurutnya, setiap aduan yang diterima menjadi panduan untuk mengenal pasti perkara yang perlu diberi keutamaan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat di kawasan berkenaan.

“Saya tidak ada nak membetulkan. Saya hanya nak menambah baik kerana sepanjang tempoh kempen, apabila berjumpa dengan masyarakat dan orang kampung, ramai yang menceritakan masalah tertentu ataupun aduan masyarakat.

“Jadi, perkara itu perlu saya teruskan dan usahakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Pada PRN Melaka Ke-16, Abdul Hakim yang mewakili Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi DUN Lendu dengan memperoleh 8,296 undi dan majoriti 6,085 undi, menewaskan calon Bersatu, Nazri Ramli yang mendapat 2,211 undi.

Keputusan itu menyaksikan BN mengekalkan penguasaan di kerusi berkenaan selepas penyandang sebelumnya, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali turut memenanginya pada PRN 2021 dengan majoriti 3,104 undi.

Mengulas langkah pertama selepas memulakan tugas secara rasmi, Abdul Hakim berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan kepimpinan setempat terlebih dahulu bagi menyelaras urusan serta mendapatkan taklimat berkaitan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan setiap perancangan dan tindakan selepas menerima mandat dapat dilaksanakan dengan teratur.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

178
Kongsi :
Previous post MAJORITI TERTINGGI BUKAN UNTUK BERMEGAH – RAIS