TUMINAH TEKAD TIDAK SIA-SIAKAN MANDAT WARGA PANTAI KUNDOR

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 15 November – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi bertekad untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik dan tidak mensia-siakan mandat yang diberikan pengundi selepas berjaya mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Beliau berkata, kepercayaan itu menjadi pembakar semangat untuk terus bekerja bagi menangani pelbagai permasalahan serta memenuhi harapan penduduk di kawasan berkenaan.

“Insya-Allah, kepada warga DUN Pantai Kundor, saya tidak akan mensia-siakan mandat yang diberikan kepada saya dan kita akan sama-sama bekerja untuk membangunkan kawasan ini.

“Saya bersyukur atas mandat yang diberikan oleh pengundi DUN Pantai Kundor dan mengucapkan jutaan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada saya,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas diumum pemenang kerusi DUN Pantai Kundor di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, pada Sabtu.

Pada PRN Melaka Ke-16, Tuminah yang mewakili Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi berkenaan dengan memperoleh 8,864 undi, menewaskan pencabarnya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datin Seri Dr. Asmah Samat yang meraih 6,112 undi, sekali gus memperoleh majoriti 2,752 undi.

Mengulas kejayaan itu, Tuminah menyifatkannya sebagai hasil kerja keras dan komitmen seluruh jentera parti yang bertungkus-lumus sepanjang 14 hari tempoh berkempen.

Katanya, kejayaan berkenaan bukan milik beliau seorang, sebaliknya hasil kerjasama semua pihak yang berganding bahu memastikan kemenangan BN di kawasan itu.

“Kejayaan saya bukan kejayaan saya seorang, tetapi kejayaan Barisan Nasional dengan gabungan kerjasama daripada semua jentera Perikatan Nasional (PN) yang bersama-sama mahu memastikan kemenangan di DUN Pantai Kundor.

“Terima kasih kepada semua yang membantu sepanjang 14 hari berkempen. Hanya Allah SWT yang mampu membalas segala jasa dan pengorbanan semua.

“Penat lelah kita sepanjang dua minggu akhirnya terjawab dengan kemenangan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

295
Kongsi :
Previous post TANGANI BANJIR JADI MISI PERTAMA NADARAJAH DI GADEK