ABDUL HAKIM TURUN PADANG TINJAU MASALAH PENIAGA, ISU RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

LENDU 16 November – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid, turun padang meninjau permasalahan dihadapi peniaga dan orang ramai di Pasar Awam Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Lawatan itu turut memberi peluang kepada beliau berinteraksi secara langsung dengan peniaga gerai serta pengusaha perniagaan berhampiran bagi mendengar sendiri pandangan, aduan dan perkara yang ingin disuarakan kepada beliau.

Menurut Abdul Hakim, setiap maklum balas yang diterima sepanjang kunjungan itu akan diberi perhatian, selain beliau turut merancang untuk memperkenalkan satu saluran komunikasi bagi memudahkan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu berhubung dan berurusan dengan pihaknya.

“Terima kasih kepada semua yang sudi meluangkan masa untuk berkongsi cerita dan menyuarakan pendapat. Apa yang tuan-tuan dan puan-puan sampaikan, saya ambil perhatian.

“Insya-Allah, saya akan kongsikan satu pengumuman bagi memudahkan warga DUN Lendu menghubungi dan berurusan dengan pihak saya,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.

Dalam kunjungan sama, Abdul Hakim turut mengambil kesempatan meninjau tahap kebersihan dan keadaan kemudahan awam sekitar pasar berkenaan, termasuk mengenal pasti fasiliti yang mengalami kerosakan.

Terdahulu, petang semalam beliau turut meluangkan masa turun padang menyantuni peniaga dan pengunjung di pasar malam Masjid Tanah bagi mendekati masyarakat setempat.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, Abdul Hakim berjaya mengekalkan kerusi DUN Lendu bagi Barisan Nasional (BN) selepas memperoleh 8,296 undi, mengatasi pencabarnya, Nazri Ramli daripada BERSATU yang meraih 2,211 undi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

244
Kongsi :
Previous post ‘RAKYAT BUKAN LIHAT SAYA SAHAJA, TAPI YAKIN GABUNGAN BN-PN’ – HAMEED