AB RAUF MAHU WAKIL RAKYAT TURUN PADANG, BUKAN DUDUK DI PEJABAT

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

SERI NEGERI 17 November – Setiap wakil rakyat di Melaka perlu mempunyai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi memastikan amanah diberikan diterjemahkan menerusi pencapaian dan khidmat yang berkesan kepada masyarakat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, penilaian prestasi wakil rakyat perlu mengambil kira sejauh mana mereka turun padang, mendengar keluhan serta mendapatkan pandangan penduduk di kawasan masing-masing.

Menurutnya, seseorang wakil rakyat tidak seharusnya hanya berada di pejabat, sebaliknya perlu sentiasa mendekati masyarakat bagi memahami keperluan sebenar mereka.

“Wakil rakyat ini bukan duduk sahaja di pejabat pakai baju cantik dan mahu bergaya, tidak, wakil rakyat ini kena jadi rakyat.

“Turun dengar apa yang rakyat mahu, ambil pandangan rakyat semampu yang boleh dan kita membuat satu penilaian terbaik sebagai orang yang diberi amanah oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan ‘clock-in’ hari pertama tugas rasmi sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 bagi penggal kedua di Pejabat Ketua Menteri, Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Khairul Azreem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Md Azhan Samat dan Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

Ab Rauf berkata, walaupun tidak semua pandangan dan cadangan rakyat boleh diterjemahkan menjadi dasar kerajaan, setiap suara masyarakat tetap perlu didengar dan diberikan perhatian.

“Pelaksanaan KPI bukan perkara baharu kerana sistem penilaian ini akan diteruskan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

240
Kongsi :
Previous post WAKIL BN-PN ADA DALAM BARISAN EXCO MELAKA – AB RAUF 
Next post AB RAUF SASAR TUNAI JANJI MANIFESTO MENGIKUT MASA DITETAPKAN