MUSTAFA AZAM GALAS AMANAH TIMBALAN EXCO, JAMIN GERAK KERJA DUN TIDAK TERABAI

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

DURIAN TUNGGAL 24 November – Pelantikan sebagai Timbalan Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri tidak akan menjejaskan komitmen Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Dr. Mustafa Musa dalam memastikan kebajikan serta aduan penduduk di kawasannya terus diberi perhatian.

Beliau berkata, tanggungjawab baharu itu akan dilaksanakan sebaik mungkin dengan memberi tumpuan kepada usaha mendalami bidang berkenaan serta membantu pengurusan agensi di bawah portfolio terbabit.

Mustafa turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menggalas amanah berkenaan.

“Walaupun bidang itu agak baharu bagi saya, saya berazam melaksanakan tanggungjawab ini sebaik mungkin dan mendalami perkara berkaitan bagi membantu Exco, khususnya dalam pengurusan agensi-agensi di bawah portfolio berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini pada Program Jualan Rahmah DUN Durian Tunggal di Balai Raya Taman Angkasa Nuri, di sini.

Mengulas mengenai pembahagian masa antara tanggungjawab di peringkat negeri dan kawasan, Mustafa memberi jaminan urusan serta penyelesaian aduan penduduk DUN Durian Tunggal akan terus dipantau.

Katanya, Japerun Durian Tunggal mempunyai pasukan dan jentera lengkap termasuk Setiausaha Japerun (SUJ), pegawai kebajikan, pegawai kewangan serta pegawai perhubungan bagi memastikan urusan rakyat berjalan lancar.

“Aduan diterima setiap hari sama ada saya berada di Japerun atau tidak dan setiap hari saya akan memantau aduan-aduan berkenaan.

“Mana-mana aduan yang boleh diselesaikan lebih awal akan kita ambil tindakan segera, manakala perkara yang memerlukan bantuan agensi akan disalurkan kepada pihak berkaitan.

“Kita mempunyai pasukan di Japerun yang akan membantu, jadi tiada masalah dari segi pengurusan aduan penduduk,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

340
Kongsi :
Previous post TAMAN REKREASI BUKIT BERINGIN BUKAN KAWASAN TERNAKAN – ABDUL HAKIM