
MELAKA SASAR 320 SEKOLAH NIKMATI KEMUDAHAN PEMBELAJARAN MODEN
SERI NEGERI 24 November – Kerajaan Negeri berhasrat memperluas akses kepada kemudahan pembelajaran moden di lebih 320 sekolah kerajaan di Melaka bagi memastikan murid menikmati persekitaran pendidikan yang lebih kondusif dan setanding dengan sekolah swasta dari segi fasiliti.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET negeri, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, penggunaan teknologi seperti televisyen pintar (smart TV) dan papan pintar (smart board) penting bagi membantu meningkatkan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Menurutnya, usaha merealisasikan hasrat itu memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan serta sektor swasta yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan pendidikan.
“Kita mempunyai lebih kurang 320 sekolah dengan keperluan berbeza dan sudah tentu kita akan melihat aspek keutamaan serta penyelarasan peruntukan antara peringkat Persekutuan dan negeri bagi mendapatkan penyelesaian terbaik.
“Dalam masa sama, kita mahu memastikan prestasi pendidikan Melaka yang kini berada dalam kelompok lima terbaik di Malaysia dapat dikekalkan dan terus dipertingkatkan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mohd Ridhwan berkata, segala perancangan, kursus dan inisiatif di bawah portfolio pendidikan, pengajian tinggi dan TVET akan memberi keutamaan kepada anak Melaka supaya mereka turut mendapat manfaat daripada pembangunan sektor berkenaan.
Katanya, pembangunan bidang TVET pula perlu dilaksanakan dengan mengambil kira keperluan pemain industri tempatan bagi memastikan latihan kemahiran yang ditawarkan bersesuaian dengan permintaan pasaran pekerjaan.
“Bidang TVET tidak boleh dipisahkan daripada pemain industri kerana merekalah yang menyediakan peluang pekerjaan. Justeru, latihan yang diberikan perlu selari dengan keperluan syarikat industri yang beroperasi di Melaka.
“Ini penting supaya anak-anak Melaka mendapat latihan kemahiran yang tepat dan mempunyai peluang lebih baik untuk memasuki pasaran kerja tempatan selepas tamat pengajian,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Melaka supaya bersama-sama menyumbang kepada pembangunan pendidikan negeri, sama ada menerusi sumbangan kewangan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta alumni, mahupun sumbangan tenaga dan idea.
“Segala-galanya bermula daripada pendidikan untuk mengubah nasib sesebuah negeri dan bangsa. Ini adalah tanggungjawab bersama bagi memastikan generasi baharu yang lahir di Melaka lebih baik daripada kita pada hari ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

