
ADUAN KOMUNITI AYER MOLEK SETIAP SELASA
SERI NEGERI 26 November – Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek kini mempunyai saluran tetap untuk menyuarakan permasalahan setempat menerusi Program Aduan Komuniti yang akan dilaksanakan Japerun Ayer Molek pada setiap Selasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, inisiatif itu bertujuan memberi ruang kepada penduduk menyampaikan aduan secara terus kepada pihak Japerun sebelum perkara dibangkitkan disalurkan kepada agensi kerajaan berkaitan untuk tindakan susulan.
Beliau berkata, program berkenaan mula dilaksanakan sebaik sahaja pentadbiran Japerun diaktifkan semula selepas pilihan raya dan menerima sambutan apabila sekitar 26 hingga 30 aduan dikemukakan penduduk pada hari pertama.
“Semua aduan yang diterima sudah disalurkan kepada agensi berkaitan, dengan beberapa tindakan awal telah dimulakan manakala selebihnya masih menunggu penyelarasan pihak terlibat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, pelaksanaan secara mingguan itu diharap dapat memastikan isu yang dihadapi penduduk mendapat perhatian, selain mengukuhkan peranan Japerun sebagai penghubung antara masyarakat dengan agensi kerajaan.
Beliau berkata, usaha berkenaan turut mendapat sokongan petugas Japerun serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi membantu mengenal pasti keperluan masyarakat setempat.
Dalam perkembangan lain, Mohd Ridhwan yang juga yang juga Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET negeri memaklumkan, pihaknya juga sedang merancang Program Kembali Ke Sekolah menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu pada Disember ini bagi membantu meringankan persiapan ibu bapa.
Katanya, pihak Japerun Ayer Molek akan mendapatkan maklum balas JPKK dan pentadbiran sekolah setempat bagi mengenal pasti murid yang benar-benar memerlukan bantuan kelengkapan persekolahan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

