‘AH SEM’ PERJUANG KLINIK KESIHATAN BAHARU TEBONG

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 26 November – Permohonan pembinaan Klinik Kesihatan (KK) baharu di Tebong dengan cadangan tapak seluas lapan ekar akan terus diperjuangkan bagi memastikan penduduk setempat mendapat kemudahan kesihatan yang lebih selesa dan selamat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, cadangan tapak baharu di kawasan Tebong itu telah dikemukakan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Melaka bagi menggantikan klinik sedia ada yang disifatkan terlalu kecil dan kurang sesuai untuk kegunaan jangka panjang.

Menurutnya, kedudukan klinik ketika ini yang terletak di kawasan selekoh berbahaya turut menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya serta pesakit yang mendapatkan rawatan.

“KK Tebong sekarang terlalu kecil dan terletak di satu kawasan selekoh yang sangat berbahaya, malah sudah beberapa kali berlaku kemalangan di situ.

“Jadi, lokasi itu tidak begitu sesuai lagi untuk kegunaan jangka panjang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Hee Sem berkata, keperluan mendapatkan kemudahan kesihatan baharu itu semakin penting berikutan perancangan pembangunan taman perumahan seluas 40 ekar di kawasan berkenaan pada masa akan datang.

Katanya, permohonan awal perlu dikemukakan supaya perancangan penyediaan kemudahan kesihatan dapat mengambil kira pertambahan penduduk apabila pembangunan perumahan itu direalisasikan.

“Klinik sedia ada tidak mampu menampung pertambahan penduduk pada masa akan datang.

“Lebih baik sebelum projek perumahan baharu dibangunkan, kita kemukakan permohonan awal untuk menyediakan KK baharu di Tebong,” katanya.

Walaupun tidak lagi menerajui portfolio kesihatan negeri selepas lebih tiga tahun berkhidmat dalam bidang berkenaan, Hee Sem berkata, beliau akan terus membawa keperluan itu sebagai wakil rakyat Machap Jaya bagi memastikan kemudahan kesihatan penduduk setempat terus diberi perhatian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

370
Kongsi :
Previous post ADUAN KOMUNITI AYER MOLEK SETIAP SELASA