BAN HONG SUSUN LANGKAH REDAKAN KESESAKAN HOSPITAL MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

SERI NEGERI 26 November – Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha menangani kesesakan di Hospital Melaka menerusi kerjasama strategik bersama hospital swasta, selain meneliti keperluan penambahbaikan fasiliti, kemudahan dan sumber perubatan di kemudahan kesihatan itu.

Exco Kesihatan dan Modal Insan negeri, Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, kerjasama dengan sektor swasta dilaksanakan sebelum ini akan diteruskan bagi membantu mempercepatkan proses pemeriksaan kesihatan serta menyediakan laporan perubatan pesakit.

Menurutnya, perkara itu telah dibincangkan bersama Jabatan Kesihatan Negeri dan usaha berkenaan akan diperkukuh seiring dengan penambahbaikan perkhidmatan di Hospital Melaka sendiri.

“Kita mahu ada kesinambungan terhadap usaha yang telah dilakukan sebelum ini termasuk kerjasama dengan sesetengah hospital swasta serta penambahbaikan fasiliti dan kemudahan perubatan.

“Usaha ini merupakan satu komitmen berterusan bagi memastikan isu kesesakan dapat ditangani dengan lebih baik,” katanya kepada pemberita ketika mengulas isu kesesakan serta kelewatan rawatan di Hospital Melaka yang sebelum ini turut mencetuskan perhatian susulan beberapa insiden tular di media sosial.

Ban Hong berkata, penelitian terhadap keperluan hospital berkenaan penting bagi mengenal pasti aspek yang memerlukan tindakan lanjut, termasuk kemungkinan penambahan anggota dan peralatan perubatan.

Katanya, Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekiranya terdapat keperluan berhubung perkara itu.

“Kita akan lihat satu persatu dan berbincang dengan KKM sekiranya perlu menambah anggota atau peralatan perubatan bagi mempercepatkan pemeriksaan serta laporan kesihatan, dan ia akan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

459
Kongsi :
Previous post JUALAN MESRA 2027: PENIAGA SETEMPAT DIBERI KEUTAMAAN