MEDIPULIH SUMBANG TENAGA, KHATANKAN 50 ANAK ASNAF

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 26 November – Klinik MediPulih memperuntukkan lapan petugas perubatan bertauliah bagi melaksanakan prosedur khatan percuma terhadap 50 anak asnaf menerusi Program Khatan Anak Asnaf MAIM 2026 di daerah Alor Gajah pada 12 Disember ini.

Pelantikan MediPulih sebagai badan pelaksana oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) itu mencerminkan penglibatan klinik berkenaan dalam menyokong usaha kebajikan, khususnya membantu keluarga asnaf mendapatkan perkhidmatan khatan untuk anak-anak tanpa sebarang kos.

Ketua Strategi Korporat MediPulih, Abuzar Ghifari Abd Rahman berkata, pasukan berkenaan terdiri daripada doktor dan pembantu perubatan bertauliah yang berdaftar di bawah klinik itu bagi memastikan kelancaran pelaksanaan program.

Beliau yang juga ahli Badan Sukarelawan Al-Taqwa MAIM (BSAT) berkata, MediPulih dipilih sebagai kluster perubatan untuk mengendalikan prosedur khatan terhadap 50 anak asnaf yang dikenal pasti bagi pelaksanaan fasa pertama di Alor Gajah.

“MediPulih merupakan kluster perubatan yang dipilih MAIM untuk menjalankan prosedur khatan terhadap 50 anak asnaf yang terpilih dan kesemua doktor serta pembantu yang terlibat adalah pakar dan bertauliah.

“Program ini dijangka akan dilaksanakan mengikut daerah dengan Alor Gajah sebagai daerah pertama untuk program khatan percuma ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Pembabitan MediPulih dalam inisiatif itu bukan sekadar menyediakan khidmat kepakaran perubatan, malah membuktikan komitmen syarikat berkenaan untuk terus menyumbang kepada masyarakat menerusi pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR), khususnya dalam membantu golongan memerlukan.

Program berkenaan dijadual berlangsung dari jam 8 pagi hingga 1 tengah hari di Masjid Salmah Khamis, Masjid Tanah, dengan penyertaan dibuka kepada anak asnaf kategori fakir, miskin atau mualaf berusia enam hingga 12 tahun yang menetap di daerah Alor Gajah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

223
Kongsi :
Previous post LIMA TAHUN MENGENAL ISLAM, NUR IZZAH SYUKUR DIJEMPUT KE TANAH SUCI