ADUAN RAKYAT TERUS JADI FOKUS, JELAJAH MELAKA SAYANG RAKYAT BERMULA DISEMBER

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

SERI NEGERI 26 November – Kerajaan Negeri terus mempergiat pendekatan turun padang menerusi penganjuran Jelajah Melaka Sayang Rakyat melibatkan enam kawasan Parlimen bermula Disember ini bagi mendekati masyarakat serta memastikan setiap aduan dan keperluan rakyat mendapat perhatian sewajarnya.

Penyelaras Jelajah Melaka Sayang Rakyat, Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan berkata, program berkenaan akan diketuai sendiri Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh dengan penglibatan semua Exco, Timbalan Exco, wakil jabatan serta agensi kerajaan negeri.

Menurutnya, antara pengisian utama yang bakal diketengahkan ialah Mini Hari Bertemu Pelanggan (HEBAT), yang membuka ruang kepada masyarakat untuk menyampaikan aduan, cadangan dan permintaan secara terus kepada pihak berkaitan.

Beliau berkata, program itu merupakan kesinambungan daripada inisiatif Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Jelajah Ketua Menteri, namun kali ini diperluaskan pelaksanaannya di peringkat Parlimen.

“Konsepnya lebih kurang sama, tetapi pengisiannya kali ini dilaksanakan di peringkat Parlimen dengan turut menampilkan Kenduri Rakyat serta majlis apresiasi kepada agensi kerajaan yang banyak membantu Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai program, khususnya dalam menyelesaikan aduan rakyat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Jelasnya, penganjuran jelajah itu juga bertujuan memastikan momentum penyampaian khidmat kepada rakyat terus dikekalkan oleh semua wakil rakyat meskipun Pilihan Raya Negeri (PRN) telah berakhir.

Katanya, Ketua Menteri turut menekankan kepentingan semua wakil rakyat untuk terus komited menjalankan tanggungjawab serta memastikan kebajikan masyarakat tidak terabai.

“Ketua Menteri juga meminta untuk memastikan semua wakil rakyat mengekalkan momentum walaupun PRN telah berakhir.

“Usaha ini bertujuan memastikan semua Exco dan Timbalan Exco berganding bahu sebagai satu pasukan bagi memastikan segala aduan rakyat termasuk cadangan serta permintaan dapat diselaraskan,” katanya.

Melalui pendekatan berkenaan, Jelajah Melaka Sayang Rakyat diharap dapat menjadi platform komunikasi dua hala yang lebih dekat antara kerajaan negeri dengan masyarakat, sekali gus memudahkan penyelarasan tindakan terhadap isu dan permasalahan yang dibangkitkan rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2723
Kongsi :
Previous post MAIM SALUR LEBIH RM440,000 UNTUK PERSIAPAN SEKOLAH ANAK ASNAF JASIN