100 HARI HAMEED: BAS AWAM DISUSUN SEMULA, KESESAKAN LEBUH AMJ DAN SPA DITELITI

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

SERI NEGERI 25 November – Penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan awam dan usaha menangani kesesakan lalu lintas menjadi antara agenda utama dalam pelan 100 hari pertama Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Beliau berkata, beberapa keutamaan sudah dikenal pasti untuk dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan komitmen yang disampaikan kepada rakyat sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 diterjemahkan menerusi tindakan dan hasil yang boleh dirasai masyarakat.

Katanya, antara sasaran terdekat ialah menyusun semula laluan serta pergerakan bas awam di Melaka sebelum tahun baharu bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan memudahkan perjalanan pengguna.

“Selain itu, penyelesaian kesesakan di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dan Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) turut menjadi perhatian dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta menjalankan kajian lanjut bersama agensi berkaitan bagi mengenal pasti langkah penyelesaian lebih berkesan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, Hameed berkata, pelan 100 hari bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau turut memberi tumpuan kepada usaha menangani masalah banjir di Bulatan Luar China selain memulakan pembangunan projek berkaitan Jeti Teluk Berembang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau memaklumkan aspek kebajikan antara yang diberi perhatian, khususnya kanak-kanak yang tercicir daripada pendidikan akibat kekangan kewangan atau masalah keluarga.

“Di kawasan DUN Ayer Limau pula, kita akan memberi perhatian kepada isu kebajikan yang tercicir termasuk anak-anak yang tidak bersekolah akibat kekangan kewangan atau masalah keluarga.

“Kita akan cuba menjejaki golongan ini supaya bantuan sewajarnya dapat disalurkan dan tiada yang terus terpinggir.

“Keseluruhan agenda-agenda ini mencerminkan komitmen untuk memastikan mandat yang diberikan rakyat bukan sekadar diterjemahkan melalui perancangan, sebaliknya dilaksanakan menerusi tindakan nyata demi meningkatkan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

159
Kongsi :
Previous post BELIA BUKAN SEKADAR SUKAN, NADARAJAH TUMPU KERJAYA DAN PERUMAHAN