MPJ BERTINDAK, PEMILIK LEMBU BERKELIARAN KENA 7 KOMPAUN

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

JASIN 26 November – Tujuh ekor lembu yang berkeliaran di kawasan awam sekitar Bulatan Serkam, Bemban hingga Bandar Botani Parkland ditangkap Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) menerusi operasi pemantauan dan penguatkuasaan terhadap ternakan terbiar, pada Rabu.

Yang Dipertua MPJ, Muhammad Zahiruddin Ahmad Zahari berkata, operasi dilaksanakan Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan MPJ bagi menangani masalah haiwan ternakan yang berkeliaran bebas di kawasan awam, khususnya di jalan raya dan kawasan perumahan sehingga boleh mengancam keselamatan pengguna.

Katanya, tujuh ekor lembu berkenaan sebelum ini dilaporkan berkeliaran di laluan menuju Bandar Botani Parkland, sekali gus menimbulkan kebimbangan orang ramai berikutan risiko kemalangan sekiranya haiwan terbabit memasuki jalan raya.

“Kesemua haiwan terbiar itu kemudian ditempatkan di kawasan berpagar dengan bantuan pemilik tanah dan pekerja berhampiran bagi memastikan ia tidak kembali berkeliaran di kawasan awam.

“Susulan tindakan itu, pemilik ternakan hadir ke pejabat MPJ dan dikenakan tujuh kompaun, dengan setiap seekor lembu dikenakan satu kompaun. Keseluruhan bayaran kompaun kemudian diselesaikan dan pemilik turut diberikan nasihat serta berjanji tidak mengulangi kesalahan sama selain mengambil tindakan membaiki kandang,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Zahiruddin menggalakkan pemilik ternakan supaya mendaftarkan haiwan masing-masing serta memasang tag pengenalan seperti disarankan Kerajaan Negeri bagi memudahkan proses mengenal pasti pemilik sekiranya berlaku kejadian haiwan berkeliaran.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan berkaitan haiwan ternakan berkeliaran boleh menyalurkannya kepada MPJ untuk tindakan lanjut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

157
Kongsi :
Previous post MEDIPULIH SUMBANG TENAGA, KHATANKAN 50 ANAK ASNAF