AKADEMIK SAHAJA TIDAK MEMADAI, MBMB SEMAI NILAI INTEGRITI DALAM KALANGAN PELAJAR

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDA HILIR 27 November – Kecemerlangan akademik semata-mata tidak memadai untuk mempersiapkan generasi pewaris kepimpinan negeri dan negara tanpa disulami nilai keperibadian mulia serta integriti tinggi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan Sambutan Hari Integriti Nasional Tahun 2026 kali ini amat baik kerana bukan sahaja melibatkan warga perkhidmatan awam, malah turut menghimpunkan pelajar daripada beberapa buah sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT) di Melaka.

Menurutnya, penglibatan golongan muda menerusi pelbagai aktiviti dan pengisian kreatif itu amat bertepatan dengan tema program, ‘Integriti Tanpa Kompromi, Teras Keperibadian Mulia’ yang mengajak masyarakat menyemai nilai kejujuran, amanah dan tanggungjawab sejak usia muda.

“Dalam mempersiapkan generasi pewaris kepimpinan ini, kecemerlangan akademik sahaja tidak memadai.

“Kita mahu ilmu yang membentuk kebijaksanaan mereka, nilai membentuk keperibadian mereka dan integriti memandu setiap amanah yang bakal mereka galas,” katanya pada Program Peluncuran Laman Integriti Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB)  Sempena Sambutan Hari Integriti Nasional Tahun 2026 di Taman Bunga Merdeka, Banda Hilir, di sini, pada Khamis.

Teks ucapan Ketua Menteri dibacakan oleh Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Desa, Jezlee Pit.

Hadir sama, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman; Ketua Pegawai Operasi Institut Integriti Malaysia (IIM) Izal Arif Zahrudin; Setiausaha MBMB, Muhammad Firdaus Shariff dan Timbalan Ketua Ahli Majlis MBMB, Zamani Md Isa.

Beliau berkata, pembudayaan integriti harus bermula daripada perkara kecil dalam kehidupan seharian termasuk kejujuran ketika menuntut ilmu, disiplin melaksanakan tanggungjawab serta keberanian mempertahankan perkara yang sebenar.

Tambahnya, anak-anak muda yang terbabit dalam program berkenaan merupakan generasi yang suatu hari nanti bakal menerajui pelbagai sektor, memimpin organisasi serta menentukan hala tuju negeri dan negara.

Selain itu beliau juga menegaskan, nilai dan prinsip sama yang disemai kepada generasi muda itu jugalah yang mesti kekal menjadi pegangan pentadbiran kerajaan dalam melaksanakan amanah serta memelihara kepentingan dan kepercayaan rakyat hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

360
Kongsi :
Previous post TABIKA, TASKA PERPADUAN LAHIRKAN ANAK-ANAK LEBIH BERKEYAKINAN