TIADA LAGI SURAT LAYANG, MBMB SEDIA KOD QR ADUAN SALAH LAKU

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

BANDA HILIR 27 November – Orang awam kini boleh melaporkan sebarang salah laku membabitkan anggota Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) pada bila-bila masa menerusi imbasan kod QR yang disediakan di Laman Integriti.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, saluran aduan bersistem yang beroperasi 24 jam itu ditempatkan di kawasan awam bagi memudahkan akses masyarakat tanpa perlu lagi bergantung kepada kaedah surat-menyurat atau surat layang.

Jelasnya, Laman Integriti yang dilancarkan bukan sahaja memaparkan maklumat berkaitan pemerkasaan integriti, malah menjadi medium terus untuk orang awam menyalurkan aduan kepada Unit Integriti MBMB.

“Laporan yang dihantar menerusi kod QR tersebut akan terus datang kepada pihak Unit Integriti MBMB untuk siasatan lanjut dan tindakan tegas akan diambil terhadap anggota terbabit sekiranya salah laku itu terbukti berlaku.

“Tempoh bagi memproses setiap aduan yang diterima dianggarkan mengambil masa sekitar dua minggu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Peluncuran Laman Integriti Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB)  Sempena Sambutan Hari Integriti Nasional Tahun 2026 di Taman Bunga Merdeka, Banda Hilir, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Desa, Jezlee Pit; Ketua Pegawai Operasi Institut Integriti Malaysia (IIM), Izal Arif Zahrudin; Setiausaha MBMB, Muhammad Firdaus Shariff dan Timbalan Ketua Ahli Majlis MBMB, Zamani Md. Isa.

Menurutnya, kemudahan itu terbuka untuk melaporkan apa jua bentuk salah laku dan sekiranya aduan yang diterima membabitkan agensi lain, MBMB akan membantu menyalurkannya kepada agensi berkaitan.

Shadan memaklumkan, berdasarkan rekod tahun ini tiada sebarang kes kakitangan MBMB ditamatkan perkhidmatan akibat salah laku.

“Pada tahun sebelum ini memang ada kes yang berlaku, namun saya tidak boleh mengulas lanjut kerana ia melibatkan keputusan mahkamah, manakala bagi tahun ini tiada sebarang kes direkodkan,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 90 peratus bahan kempen pilihan raya di kawasan pentadbiran MBMB telah diturunkan setakat minggu pertama daripada tempoh dua minggu yang diberikan selepas pilihan raya.

Beliau menegaskan, MBMB akan melucutkan wang deposit berjumlah RM5,000 terhadap mana-mana parti politik yang masih gagal menurunkan bahan kempen masing-masing selepas tempoh ditetapkan berakhir.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

333
Kongsi :
Previous post MELAKA MAMPU BEKAL TENAGA KERJA INDUSTRI SEMIKONDUKTOR
Next post ‘MENJIWAI RAKYAT’, MESEJ UTAMA BAJET MELAKA 2027