PUTRA SPECIALIST HOSPITAL MILIKI CT SCAN TERCANGGIH DI MALAYSIA, ASIA TENGGARA

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

BANDARAYA MELAKA 27 November – Putra Specialist Hospital (PSH) Melaka melabur lebih RM6 juta bagi memperoleh sistem Revolution Vibe Advanced CT Scan, sekali gus menjadi hospital pertama di Malaysia dan Asia Tenggara memiliki teknologi pengimejan perubatan berkenaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, penggunaan teknologi terbaharu itu mampu meningkatkan kepantasan dan ketepatan pemeriksaan perubatan, khususnya dalam mengesan penyakit jantung pada peringkat awal.

Menurutnya, pelaburan menerusi kerjasama dengan GE HealthCare itu dijangka memberi nilai tambah kepada keupayaan PSH Melaka dalam menawarkan perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi kepada masyarakat.

“Kita telah mendapat kerjasama dengan GE HealthCare bagi memastikan pelaburan yang dibuat ini memberikan pulangan baik kepada PSH Melaka.

“Dengan kepantasan, kecekapan dan kelebihan yang ada, peralatan ini mampu memberikan keputusan pemeriksaan yang amat berkesan, khususnya untuk mengesan penyakit jantung pada peringkat awal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Sistem Revolution Vibe Advanced CT Scan Pertama di Lobi Putra Specialist Hospital Melaka Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Md Azhan Samat; Exco Kesihatan dan Modal Insan negeri, Datuk Wira Lim Ban Hong; Timbalan Exco Pelaburan dan Industri negeri, Datuk Ngwe Hee Sem; Ketua Pegawai Eksekutif PSH Melaka Sdn Bhd, Mohd Zahiruddin Ahmad serta Pengurus Zon GE HealthCare bagi Singapura, Kemboja, Myanmar, Brunei dan Laos, Dede Yan.

Dalam perkembangan sama, Ab Rauf berkata, hampir 100,000 pelancong kesihatan telah mendapatkan rawatan di PSH Melaka, sekali gus mencerminkan potensi besar sektor pelancongan perubatan dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Katanya, Kerajaan Negeri akan terus mempergiat usaha mempromosikan sektor berkenaan bagi menarik lebih ramai pelancong kesihatan, selain memperkukuh kedudukan Melaka sebagai destinasi pilihan mendapatkan rawatan perubatan.

“Kerajaan Negeri akan terus mempergiat usaha menggalakkan sektor berkenaan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi khususnya dalam bidang perubatan.

“Selain itu, cadangan pembangunan sebuah lagi hospital Putra di Bukit Beruang kini dalam proses memuktamadkan perjanjian sebelum projek ini dapat diteruskan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

407
Kongsi :
Previous post BEKALAN AYAM TIDAK CUKUP PUNCA INSIDEN DI MRSM TUN GHAFAR BABA