MELAKA MAMPU BEKAL TENAGA KERJA INDUSTRI SEMIKONDUKTOR

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

BANDARAYA MELAKA 27 November – Keupayaan Melaka menyediakan tenaga kerja berkemahiran bagi memenuhi keperluan industri semikonduktor terus diperkukuh menerusi sokongan lebih 67 institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, kesediaan tenaga kerja pada pelbagai tahap kemahiran menjadi antara faktor penting dalam mengekalkan daya tarikan Melaka sebagai destinasi pelaburan industri berteknologi tinggi.

Menurutnya, pencapaian Texas Instruments menghasilkan satu bilion cip dalam tempoh setahun di Melaka membuktikan keupayaan industri semikonduktor negeri ini terus berkembang dengan sokongan tenaga kerja tempatan.

Katanya, pelaburan Texas Instruments bernilai RM5 bilion kira-kira empat tahun lalu turut memperlihatkan hasil menerusi perkembangan operasi dan pencapaian pengeluaran syarikat berkenaan pada tahun ini.

“Ini menunjukkan Kerajaan Negeri sentiasa yakin dengan pelaburan dalam industri semikonduktor yang telah bertapak lebih 52 tahun di Melaka.

“Kita berjaya mengekalkan keupayaan dalam menggalakkan pelaburan baharu dalam bidang semikonduktor selain menyediakan modal insan kepada pelabur yang datang ke negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Sistem Revolution Vibe Advanced CT Scan di Lobi Putra Specialist Hospital Melaka Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat; Exco Kesihatan dan Modal Insan negeri Datuk Wira Lim Ban Hong; Timbalan Exco Pelaburan dan Industri negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Ketua Pegawai Eksekutif PSH Melaka Sdn Bhd Mohd Zahiruddin Ahmad serta Pengurus Zon GE HealthCare bagi Singapura, Kemboja, Myanmar, Brunei dan Laos, Dede Yan.

Ab Rauf berkata, Melaka sentiasa bersedia membekalkan tenaga kerja pada pelbagai tahap kemahiran, merangkumi kategori rendah, sederhana dan tinggi bagi memenuhi keperluan serta pengkhususan setiap pelabur.

“Kesediaan ini turut disokong oleh kewujudan lebih 67 kolej TVET di negeri ini yang berperanan menyediakan tenaga kerja mengikut keperluan industri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

531
Kongsi :
Previous post PUTRA SPECIALIST HOSPITAL MILIKI CT SCAN TERCANGGIH DI MALAYSIA, ASIA TENGGARA