‘MENJIWAI RAKYAT’, MESEJ UTAMA BAJET MELAKA 2027

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

BANDARAYA MELAKA 27 November – Keperluan dan kesejahteraan rakyat bakal menjadi antara keutamaan dalam perangkaan Bajet Negeri Melaka 2027 yang dijadual dibentangkan pada 23 Disember depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, bajet berkenaan akan membawa pendekatan lebih menjiwai rakyat dengan mengambil kira kepentingan serta keperluan masyarakat di seluruh negeri.

Menurutnya, pendekatan itu akan menjadi antara penekanan dalam pembentangan bajet yang bakal menentukan hala tuju pembangunan dan kesejahteraan rakyat Melaka bagi tahun hadapan.

“Bajet 2027 Negeri Melaka yang akan kita bentangkan pada 23 Disember ini, insya-Allah akan lebih menjiwai rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sistem Revolution Vibe Advanced CT Scan di Lobi Putra Specialist Hospital (PSH) Melaka Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat; Exco Kesihatan dan Modal Insan negeri Datuk Wira Lim Ban Hong dan timbalannya Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Timbalan Exco Pelaburan dan Industri negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Ketua Pegawai Eksekutif PSH Melaka Sdn Bhd Mohd Zahiruddin Ahmad serta Pengurus Zon GE HealthCare bagi Singapura, Kemboja, Myanmar, Brunei dan Laos, Dede Yan.

Pada 5 Disember tahun lalu, Ab Rauf membentangkan Bajet Negeri Melaka 2026 dengan mengangkat tema ‘Pembangunan Terancang, Demi Rakyat Untuk Rakyat’ dengan berteraskan semangat Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).

Bajet berkenaan memperuntukkan RM528.8 juta bagi perbelanjaan mengurus dan RM93 juta untuk perbelanjaan pembangunan, manakala unjuran hasil negeri ditetapkan sebanyak RM528.9 juta sekali gus mengekalkan pendekatan bajet lebihan.

Sebanyak 204 inisiatif dirangka bagi 2026 berbanding 168 inisiatif pada tahun sebelumnya, menerusi tiga matlamat utama iaitu melestari pembangunan dan keberhasilan ekonomi; mensejahterakan rakyat dan pembangunan modal insan; serta memantapkan tatakelola dan kecekapan tadbir urus.

Pelaksanaan inisiatif itu turut disusun menerusi 13 fokus utama meliputi 11 portfolio Exco serta perkhidmatan awam bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

377
Kongsi :
Previous post TIADA LAGI SURAT LAYANG, MBMB SEDIA KOD QR ADUAN SALAH LAKU
Next post AYAM MENTAH: MARA TENTUKAN NASIB PEMBEKAL MAKANAN MRSM