
BANJIR JEJAS JAMBATAN KUALA SUNGGA, KESELAMATAN JADI KEUTAMAAN HAMEED
MACHAP JAYA 28 November – Kesan banjir terhadap Jambatan Kuala Sungga, di sini, diberi perhatian apabila tinjauan lapangan dilaksanakan bagi menilai tahap kerosakan serta mengenal pasti keperluan kerja pembaikan di kawasan berkenaan.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, tinjauan itu turut meneliti keadaan jalan yang rosak dan berlubang serta kesan hakisan akibat banjir yang menjejaskan infrastruktur jambatan berkenaan.
Katanya, penilaian di lapangan penting bagi mengenal pasti punca kejadian banjir serta menentukan keperluan penyelenggaraan dan pembaikan bagi mengelakkan kerosakan menjadi lebih serius.
“Hasil tinjauan akan dibincangkan bersama agensi teknikal berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), CMI Infra, Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah (PDTAG) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Sungga dan Tebong Stesen.
“Pembaikan dan penambahbaikan perlu dilakukan segera bagi memastikan tindakan susulan dapat dirancang serta dilaksanakan berdasarkan keperluan dan tahap kerosakan yang dikenal pasti,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya baru-baru ini.
Hadir sama pada tinjauan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem serta wakil agensi berkaitan.
Hameed berkata, segala kerosakan dan isu yang dikenal pasti menerusi tinjauan berkenaan akan diberi perhatian serius bagi membolehkan tindakan penyelesaian dilaksanakan secepat mungkin.
“Isu melibatkan keselamatan dan keselesaan penduduk setempat menjadi keutamaan. Justeru, setiap permasalahan infrastruktur yang dibangkitkan perlu diteliti secara langsung bersama agensi bertanggungjawab,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

