KONVOKESYEN UNIMEL KE-28 RAIKAN 1,173 GRADUAN

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 28 November – Seramai 1,173 graduan Universiti Islam Melaka (UNIMEL) diraikan pada Istiadat Konvokesyen Ke-28 universiti itu yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Daripada jumlah itu, seramai 71 graduan merupakan lepasan pascasiswazah manakala 1,102 lagi graduan pra siswazah yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing.

Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam berkata, kejayaan yang diraih setiap graduan merupakan hasil ketekunan, kecekalan dan pengorbanan sepanjang menempuh perjalanan menuntut ilmu.

Menurutnya, istiadat konvokesyen bukan sekadar meraikan penganugerahan diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada perjalanan lebih besar dalam kehidupan setiap graduan.

“Di sebalik setiap angka terdapat kisah ketekunan, pengorbanan dan harapan. Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua graduan, khususnya penerima anugerah kecemerlangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada istiadat berkenaan yang turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh yang juga PRO Canselor UNIMEL.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Khairul Azreem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET negeri Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Naib Canselor UNIMEL, Prof. Datuk Ts. Dr. Abdul Khalil Shawkataly dan kenamaan lain.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa dan penjaga yang menjadi tulang belakang kejayaan graduan menerusi pengorbanan, kasih sayang serta doa yang tidak pernah putus.

“Kejayaan yang diraikan bukan hanya milik graduan, malah turut menjadi kebanggaan keluarga yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanan pendidikan mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

327
Kongsi :
Previous post BAJET MELAKA 2027: PERUNTUKAN KLUSTER AGAMA DIJANGKA ANTARA TERTINGGI
Next post HUBUNGAN ALUMNI, UNIMEL TIDAK TERHENTI SELEPAS KONVOKESYEN – TUN DR. MOHD ALI