MELAKA TINGKATKAN USAHA KESAN KANSER LEBIH AWAL

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BANDARAYA MELAKA 29 November- Sebanyak 4,325 kes baharu kanser direkodkan di Melaka sepanjang tempoh 2022 hingga 2024, sekali gus mendorong keperluan memperkukuh usaha pencegahan dan pengesanan awal penyakit itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah kes menunjukkan peningkatan setiap tahun iaitu daripada 1,376 kes pada 2022 kepada 1,429 kes pada 2023 sebelum meningkat kepada 1,520 kes pada 2024.

Katanya, peningkatan kira-kira 10.5 peratus dalam tempoh tiga tahun itu perlu diberikan perhatian serius bagi memastikan masyarakat lebih cakna terhadap kepentingan pencegahan dan pengesanan awal kanser.

“Realiti ini harus diberikan perhatian serius kerana walau sehebat mana kemajuan teknologi dan kepakaran perubatan yang kita miliki hari ini, aspek Pencegahan dan pengesanan awal tidak boleh dipandang remeh.

“Kita harus mengubah budaya masyarakat daripada mendapatkan rawatan apabila jatuh sakit kepada menjalani pemeriksaan kesihatan ketika masih sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Larian Amal Kanser Mahkota Specialist Hospital 2026, di sini, hari ini.

Terdahulu, teks ucapan beliau dibacakan Exco Kesihatan dan Modal Insan negeri Datuk Wira Lim Ban Hong dan hadir sama Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka, Nasrul Ahmad.

Menurut Ketua Menteri, institusi perubatan awam dan swasta turut memainkan peranan penting dalam memperluas agenda kesihatan kepada masyarakat di luar tembok hospital.

“Usaha ini boleh dilaksanakan menerusi pendidikan kesihatan serta peluasan akses kepada program saringan bagi menggalakkan lebih ramai masyarakat menjalani pemeriksaan awal.

“Selain itu, saya melihat penganjuran larian amal dianjurkan ini sebagai satu usaha cukup signfikan malah dana sebanyak RM92,800 yang berjaya dikumpulkan akan digunakan untuk membiayai saringan serta pemeriksaan diagnostik kanser, khususnya untuk golongan yang memerlukan bantuan kewangan,” katanya.

Jelas beliau, selaras dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRA) institusi perubatan swasta di negeri ini diminta memperluas inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyediakan kemudahan saringan awal kanser secara percuma kepada golongan B40 atau pada kadar yang mampu ditanggung rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

282
Kongsi :
Previous post UNIMEL SASAR PENARAFAN SETARA LIMA BINTANG