Pembakaran terbuka: denda setengah juta, penjara

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

MELAKA 6 Mac. – Penduduk negeri ini diberi amaran agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau berdepan dengan denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun sekiranya masih tidak mengendahkan amaran tersebut.

Exco Jawatankuasa Negeri, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Ghafar Atan berkata, setakat pertengahan Februari lalu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri menerima 70 aduan berhubung kesalahan tersebut dengan daerah Melaka Tengah mencatatkan aduan tertinggi dengan 59 kes, Jasin enam kes manakala lima kes Alor Gajah.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu, 320 kes aduan kebakaran terbuka berlaku di seluruh negeri melibatkan 29 ‘lokasi panas’.

“Kita ingin tegaskan bahawa Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka Kebangsaan peringkat negeri telah diaktifkan bermula 22 Februari lalu dan ekoran itu, JAS mengisytiharkan larangan sebarang pembakaran terbuka.

“Pelan Pencegahan Pembakaran Terbuka Kebangsaan peringkat negeri diambil susulan makluman daripada Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa mengenai jangkaan terdapat penurunan kadar taburan hujan di seluruh negara.

“Ia disebabkan cuaca panas dan kering dan dijangka berterusan sehingga pertengahan April ini,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat
Pelan Tindakan Pencegahan Pembakaran Terbuka dan Halatuju Jabatan Alam Sekitar negeri di Seri Negeri Ayer Keroh, semalam.

Beliau menegaskan bahawa kesalahan pembakaran terbuka termasuk mereka yang sengaja atau sebaliknya membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi tujuan pembakaran terbuka, sebab lain atau dengan tidak sengaja.

Ghafar meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kebakaran terbuka atau berhasrat membantu memadamkan kebakaran kecil yang berlaku boleh menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di talian 999 dan JAS pada talian bebas tol 1-800-88- 2727 atau melalui eAduan di laman sesawang https://eaduan.doe.gov.my.

Katanya, JAS turut bekerjasama dengan agensi kerajaan lain seperti bomba dan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan bagi mengesan pesalah sekali gus mengawal pembakaran terbuka yang berlaku di negeri ini.

“Usaha ini akan dipergiatkan termasuk melaksanakan kempen Larangan Pembakaran Terbuka dengan menjalankan aktiviti rondaan dan hebahan bergerak pada setiap hari dan hujung minggu di semua lokasi seluruh negeri.

“Ia tertumpu kepada kawasan yang kerap berlakunya pembakaran terbuka selain meningkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap pelaku pembakaran terbuka di negeri ini,” ujar beliau.

Pada masa yang sama, JAS turut melaksanakan kempen Larangan Pembakaran Terbuka seperti hebahan di media sosial, wawancara di radio, hebahan bergerak ke taman perumahan, edaran risalah dan poster ke sekolah serta pihak industri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

368
Kongsi :
Previous post Penduduk Melaka digesa daftar MySejahtera untuk suntikan vaksin COVID-19
Next post Moga ada sinar baharu sektor pelancongan di Melaka
Ubah saiz-+=