Usahakan tanah terbiar tingkat pengeluaran makanan – KM

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

MACHAP 19 Jun- Kerajaan Melaka akan memastikan tanah terbiar di negeri ini diusaha dan dimajukan bagi menampung pengeluaran dalam sektor pertanian serta meningkatkan tahap sekuriti makanan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, hal itu sudah dimaklumkan kepada EXCO Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Asas Tani, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman mengenai hasrat kerajaan untuk memajukan tanah terbiar sekaligus dapat membantu menjana ekonomi.

Beliau berkata, jenis tanaman yang akan diusahakan di tanah terbiar itu akan diputuskan selepas perbincangan diadakan bersama Jabatan Pertanian Negeri bagi mengenal pasti sayuran atau buah-buahan yang menjadi keperluan.

“Saya maklumkan kepada agensi kerajan negeri, Melaka ini banyak tanah terbiar, mungkin untuk menjaga keperluan atau ‘food securit’y negeri Melaka jadi elok gunakan tanah yang ada ini diisi dengan pertanian supaya dapat menjamin pembekalan makanan untuk negeri.

“Saya sudah maklum kepada EXCO, dia sedang mengkaji dan menilai apakah keperluan yang diperlukan di Melaka ini. Kita akan tengok mana struktur sayuran atau buah-buahan yang kurang,” katanya.

SULAIMAN

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Projek Pertanian Bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Melaka iaitu di Projek Nangka, di Bukit Senggeh dan Projek Durian di Air Pasir.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Ngwe Hee Sem yang juga EXCO Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri; ADUN Asahan, Fairul Nizam Roslan; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh dan juga Pengarah Jabatan Pertanian Melaka Rozli Azizi Talib,

Menurut Sulaiman, meskipun dalam tempoh pandemik COVID-19 pada 2020 dan 2021 sektor pertanian negeri Melaka merekodkan peningkatan positif namun tanah terbiar itu perlu diusahakan bagi menampung pengeluaran sedia ada.

“Dalam tempoh COVID-19 menunjukkan sektor pertanian ada peningkatan positif 3.7 peratus berbanding sebelum itu merekodkan penurunan.

“Di Melaka tahap sara diri (SSL) untuk buah-buahan kita hanya boleh tampung kira-kira 39 peratus untuk rakyat, manakala untuk sayur pula 20 peratus dan 19 peratus untuk padi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1284
Kongsi :
Previous post RTB Fasa 1 di Segamat berjaya kurangkan mangsa banjir 52 peratus
Next post KPT sasar 55 peratus lepasan SPM lanjut pengajian dalam TVET
Ubah saiz-+=