RTB Fasa 1 di Segamat berjaya kurangkan mangsa banjir 52 peratus

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

ISKANDAR PUTERI, 19 Jun – Pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Fasa 1 telah berjaya mengurangkan mangsa banjir di daerah Segamat sebanyak 52 peratus kepada 11,040 orang, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini diberitahu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri K Raven Kumar berkata sebelum RTB Fasa 1 dijalankan, mangsa banjir di daerah berkenaan adalah seramai 21,158 orang.

Beliau berkata kerja-kerja bagi RTB Fasa 1 yang telah siap dilaksanakan sepenuhnya antara 2011 sehingga 2016, melibatkan enam pakej antaranya menaik taraf Sungai Genuang, menaik taraf Sungai Chodan, pembinaan Jambatan Genuang dan lencongan Sungai Segamat – Sungai Genuang.

“Keseluruhan kos bagi RTB Fasa 1 ini adalah RM172.8 juta. Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa kawasan yang mengalami masalah banjir iaitu di Kampung Pogoh Tengah, Kampung Bukit Limau Manis, Kampung Sri Rahmat, Kampung Chodan dan Kampung Seberang Batu Badak melibatkan 252 mangsa banjir.

“Kejadian banjir yang berlaku ini disebabkan limpahan air Sungai Muar memasuki sehingga ke kawasan Pogoh,” kata beliau ketika menjawab soalan lisan pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Pertama DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Raven (BN-Tenggaroh) berkata dalam masa yang sama, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menyediakan pelan jangka panjang melalui projek RTB Segamat Fasa 2 yang akan dilaksanakan secara dua pakej.

“Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk melaksanakan kerja ukur pada tahun ini.

“Saya percaya dengan penyediaan pelan jangka panjang melalui projek RTB Segamat Fasa 2 dengan kos keseluruhan RM650 juta, kerajaan negeri Johor komited mengurangkan jumlah mangsa banjir di daerah Segamat ini,” kata beliau.

Raven berkata demikian ketika menjawab soalan lisan N. Saraswati (BN-Kemelah) berhubung tindakan kerajaan negeri dalam mengelakkan banjir di daerah Segamat serta soalan tambahan Saraswati mengenai bagaimana projek RTB telah berjaya mengurangkan mangsa banjir di daerah berkenaan.

Segamat menjadi daerah pertama di Johor yang dilanda banjir awal tahun ini sehingga menjejaskan ribuan penduduk mengakibatkan ramai daripada mereka dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1845
Kongsi :
Previous post Perkhidmatan Shuttle Tebrau ke Woodlands mula operasi, hampir 70,000 tiket terjual
Next post Usahakan tanah terbiar tingkat pengeluaran makanan – KM
Ubah saiz-+=