Warga emas tidak perlu menumpang lagi…

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

KUALA LINGGI 25 Jun – “Berpuluh tahun kami hidup sekadar menumpang sambil menjaga rumah sepupu dan alhamdulillah, hari ini Allah memurahkan rezeki kami dapat menghuni Rumah Prihatin.

“Alhamdulillah, kami amat bersyukur dengan rezeki ini dan jutaan terima kasih kami ucapkan kepada kerajaan negeri kerana prihatin terhadap nasib kami sekeluarga,” kata Sarimah Che Man, 66.

Jika sebelum ini Sarimah dan suami, Abdul Wahab Hamzah, 68, terpaksa menjalani kehidupan dengan menjaga kediaman sepupu Sarimah di Kampung Nelayan Kuala Linggi, di sini, kini mereka ceria melangkah masuk ke Rumah Prihatin bernilai RM42,000 sumbangan kerajaan negeri.

Sarimah berkata, sebelum ini dia dan suami serta empat anak sekadar menghuni kediaman sepupunya yang mengamanahkannya menjaga rumah berkenaan, sekarang dia dan suami serta dua daripada anak mereka menikmati kehidupan berbeza di rumah baharu.

“Sepupu saya tinggal di Singapura dan dia meminta saya dan suami menjaga rumahnya dan alhamdulillah, akhirnya kami melangkah ke rumah baharu yang diberikan kerajaan.

“Tanah di tapak rumah baharu ini saya miliki sejak 1970-an selepas permohonan saya berjaya tetapi kami tidak mampu membina rumah kerana suami hanya mencari rezeki di laut dengan pendapatan tidak menentu,” katanya selepas menerima kunci rumah berkenaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Rosli Abdullah.

Rumah yang siap dibina kontraktor dalam tempoh tiga bulan itu mengandungi dua bilik, satu bilik air serta ruang tamu dan dapur yang agak luas, selain terletak hanya kira-kira satu kilometer dari rumah sepupunya yang ditumpanginya.

Abdul Wahab berkata, sepanjang mencari rezeki di perairan Kuala Linggi, Kuala Sungai Baru dan Telok Gong, dia mencuba mengumpulkan dana untuk membina rumah tetapi tidak berdaya kerana hasil titik peluhnya digunakan untuk membiayai kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Alhamdulillah, dua daripada anak kami sudah berumah tangga dan hidup dengan keluarga masing-masing, jadi rumah baharu ini kami empat anak-beranak menghuninya.

“Kami amat bersyukur kepada Allah kerana memurahkan rezeki kami dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana meluluskan permohonan yang kami kemukakan awal tahun ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

754
Kongsi :
Previous post Isham Jalil dilantik Ahli MT UMNO ganti Tajuddin
Next post Memahami tugas pengamal media
Ubah saiz-+=