Belum berani ‘buang’ pelitup muka

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

AYER KEROH 7 September – Biarpun pemakaian pelitup muka dalam bangunan atau tempat tertutup adalah pilihan, namun rata-rata orang ramai masih memilih mengamalkan penggunaannya.

Pekerja swasta Sarah Aida Abdul Hadi, 38, berkata, pemakaian pelitup muka bukan satu isu yang perlu dipertikaikan namun ia bergantung kepada langkah berjaga-jaga setiap individu itu.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, saya akan sentiasa memastikan anak-anak memakai pelitup muka kerana sudah menjadi kebiasaan mereka, saya akan ingatkan anak-anak sentiasa pakai dan mereka pun sudah biasa.

“Setiap kali mahu keluar rumah mereka (anak-anak) akan tanya pada saya di mana pelitup, ini sebagai langkah berjaga-jaga yang keluarga saya amalkan,” kata ibu kepada dua anak ini.

Seorang lagi, Mimie Azura Abu Bakar, 41, turut mewajibkan keluarganya untuk sentiasa memakai pelitup muka untuk pergi kemana-mana selagi ianya kawasan tertutup.

“Kalau kerajaan tidak wajibkan pakai pelitup muka, saya tetap mewajibkan anak-anak dan keluarga untuk pakai sebab kita tidak tahu dekat luar sana virus yang masih merebak.

“Ditambah pula anak-anak saya mudah jatuh sakit disebabkan sekarang macam-macam penyakit atau virus yang ada, saya tetap teruskan amalan pakai pelitup muka sama ada ke sekolah, kedai runcit atau ke pusat membeli-belah,” katanya.

WhatsApp Image 2022-09-07 at 4.56.09 PM
MIMIE AZURA

Manakala, Noor Farhanah Syahirah Othman, 30, menasihatkan orang ramai supaya tidak mementingkan diri biarpun kerajaan telah mengumumkan penggunaan pelitup muka tidak diwajibkan lagi.

“Kalau tempat tertutup dan sesak perlu pakai pelitup muka, tetapi kalau tempat terbuka contoh taman rekreasi semua tidak perlulah pakai.

“Contohnya di pusat membeli-belah, sekolah saya masih amalkan penggunaan pelitup muka khususnya untuk anak-anak, tetapi kalau ada aktiviti di luar sekolah tidak perlu pakai sebab mereka akan berpeluh dan boleh menimbulkan ruam di muka.

“Cuma bagi mereka yang tidak sihat ada simtom seperti batuk, selesema atau demam pakailah pelitup muka, kita jangan pentingkan diri sehingga membahayakan orang lain,” katanya yang menetap di Taman Maju Jasin.

Terdahulu Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan, kawasan dan ruang tertutup dijadikan sebagai pilihan berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata ketetapan baharu itu bagaimanapun bergantung kepada pemilik premis sama ada mahu menentukan pengunjung memakainya atau sebaliknya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2097
Kongsi :
Previous post Selak kanvas, nampak kawan kaku dalam Perodua Kancil
Next post 3,017 sekolah dalam negara kurang murid
Ubah saiz-+=