Selak kanvas, nampak kawan kaku dalam Perodua Kancil

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER LIMAU 7 September – Sepasang kekasih yang ditemui maut dalam sebuah Perodua Kancil di Kompleks Japerun Ayer Limau hari ini dikatakan sudah menjalinkan hubungan sejak lapan bulan lalu selepas berkenalan menerusi aplikasi Instagram.

Rakan mangsa yang ingin dikenali sebagai Damia, 16, memberitahu dia terkejut mendapat perkhabaran dengan kejadian menimpa rakannya itu memandangkan dia adalah individu terakhir bersama mangsa sebelum mangsa berjumpa teman lelakinya di kompleks Japerun tersebut.

Katanya, mangsa telah meminta dia menghantar ke lokasi ditemui mati jam 4 petang semalam untuk berjumpa teman lelaki mangsa.

“Dia ada minta tolong saya untuk hantarkannya ke Japerun Ayer Limau untuk berjumpa teman lelakinya dan tiba di lokasi itu saya sudah nampak Perodua Kancil itu diletakkan di bahagian tepi sebuah tadika di kawasan Japerun itu.

“Mereka ini sudah lapan bulan berkenalan melalui aplikasi Instagram dan sebenarnya saya masih terkejut dengan kejadian ini memandangkan saya juga yang jumpa mereka dalam keadaan kaku dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mengulas lanjut, tambah pelajar tingkatan empat itu, dia terkejut apabila kakak rakannya menghubunginya pada jam 8.30 pagi tadi dan memaklumkan adiknya (mangsa) tidak pulang ke rumah sejak petang semalam.

Ujarnya, dia kemudian bertindak mencari rakannya itu di kawasan sekitar sebelum mencari ke Kompleks Japerun Ayer Limau dan melihat kereta kancil dipandu teman lelaki rakannya masih di lokasi sama.

“Ketika saya tiba, kereta tersebut ditutupi dengan kain kanvas, apabila saya selak, saya nampak mereka berdua dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Saya panik, dan tidak terus buka pintu kereta itu, sebaliknya saya terus menghubungi kakak rakan saya untuk datang ke lokasi ini,” ujarnya.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi tadi, pasangan kekasih berusia 16 dan 20 tahun disahkan maut dipercayai terhidu gas karbon monoksida.

Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah di lokasi kejadian dan memaklumkan kedua-dua mangsa ditemui lengkap berpakaian di bahagian pemandu dan penumpang hadapan serta kereta kancil itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5326
Kongsi :
Previous post Pemakaian pelitup muka dalam bangunan kini atas pilihan individu – Khairy
Next post Belum berani ‘buang’ pelitup muka
Ubah saiz-+=