
TIDAK BERMINAT BERDEBAT, AH SEM PILIH FOKUS KERJA LAPANGAN
MACHAP JAYA 5 November – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem memilih untuk memberi tumpuan kepada usaha menyantuni pengundi dan menyelesaikan masalah rakyat berbanding menerima pelawaan berdebat dengan pencabarnya.
Mesra dengan panggilan Ah Sem berkata, pendekatan turun padang secara berterusan membolehkannya memahami keperluan penduduk serta perkara yang perlu diberikan perhatian di kawasan itu.
Menurutnya, pengundi juga boleh menilai sendiri pencapaian yang sudah disenaraikan, selain meneliti manifesto mengenai perancangan untuk Machap Jaya bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Saya akan jalankan tugas saya seperti biasa. Saya akan turun ke semua kawasan.
“Sejak saya menang, saya sentiasa di kawasan ini. Termasuk kanak-kanak pun ramai yang kenal saya. Jadi, saya lebih tahu apa masalah di DUN dan juga apa yang mereka nak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika menyantuni anak muda di gelanggan futsal di Felda Menggong, di sini, pada Isnin.
Terdahulu, calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Ginie Lim Siew Lin menyerahkan jemputan dialog terbuka kepada Hee Sem dan calon Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), B. Prasanth Kumar selepas proses penamaan calon pada 31 Oktober lalu.
Pelawaan itu bertujuan memberi ruang kepada calon yang bertanding membincangkan perancangan pembangunan Machap Jaya bagi tempoh lima tahun akan datang.
Hee Sem yang bertanding sebagai calon nombor satu mewakil BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke 16 berkata, beliau tidak berhasrat menerimanya sebaliknya mahu meneruskan pendekatan kerja lapangan serta membolehkan pengundi meneliti pencapaian dan tawarannya.
Katanya, meskipun pencabarnya menerima sokongan menteri daripada PH, beliau menyifatkan perkara itu sebagai kelebihan kepada calon berkenaan.
Bagaimanapun, beliau berkata, tumpuannya kekal kepada usaha menyantuni rakyat dan membantu menangani masalah yang dibangkitkan penduduk Machap Jaya.
“Bagi saya, saya kerja seperti biasa, santuni rakyat. Kalau mereka ada masalah, saya akan cuba selesaikan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

