20220109101957_IMG_3782-01

3,017 sekolah dalam negara kurang murid

PUTRAJAYA, 7 Sept – Sebanyak 3,017 sekolah rendah di Malaysia adalah sekolah kurang murid (SKM) iaitu kurang daripada 150 pelajar pada satu-satu masa, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon.

Beliau berkata jumlah itu melibatkan 2,034 Sekolah Kebangsaan (SK), 616 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 367 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Jumlah keseluruhan SK adalah sebanyak 5,877 sekolah, SJKC (1,302 ) dan  SJKT (527).

“SKM merupakan situasi serius yang memerlukan langkah penyelesaian segera dengan mengenal pasti punca permasalahan daripada akar umbi. SKM wujud atas pelbagai faktor, antaranya perubahan sosio ekonomi, demografi, peredaran zaman dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja SKM SJKC di sini hari ini.

Mah berkata jawatankuasa yang baharu ditubuhkan itu akan menumpukan kepada pada isu SKM di SJKC dan pada masa akan datang, ia akan diperluas kepada isu SKM di SK dan SJKT sekiranya hasil kajian bersesuaian untuk diaplikasikan di kedua-dua aliran itu.

Beliau berkata tiga jawatankuasa kecil turut ditubuhkan yang antara lain bertanggungjawab mengadakan interaksi dan mengumpul maklumat daripada Lembaga Pengelola Sekolah, menyediakan bahan bacaan dan program bagi meningkatkan mutu pengajaran serta pembelajaran, dan melaksanakan kajian menyeluruh bagi mengenali masalah dihadapi SKM di SJKC.

Beliau dalam pada itu tidak menolak kemungkinan hasil kajian itu akan meliputi aspek menggabungkan SKM SJKC.

“Itu antara yang kita bincang tadi, kita kena ambil kira emosi dan perasaan masyarakat terhadap isu penggabungan SKM. Kita kena lihat secara menyeluruh,” katanya serta menambah jawatankuasa itu akan bersidang selepas tiga bulan bagi pembentangan hasil kajian. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

491
photo1648699798 Previous post Belum berani ‘buang’ pelitup muka
petrol Next post Harga RON97 turun 10 sen, RON95 dan diesel kekal