Peka penyakit kencing tikus ketika banjir – Dr Akmal

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

GADEK 28 Oktober – Mana-mana individu yang ditempatkan dalam pusat pemindahan sementara (PPS) disarankan mengambil ubat antibiotik Prophylaxis bagi mengelakkan penyakit jangkitan kencing tikus berlaku sepanjang musim banjir berlaku.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, Kerajaan Negeri sentiasa peka dengan penyebaran penyakit yang berpunca dari bawaan air itu meskipun kadar pesakit menerima jangkitan kencing tikus (Leptospirosis) direkodkan rendah.

“Namun biarpun ia rendah penyakit itu masih ada dalam komuniti kita kerana ia mudah dijangkiti biarpun ketika air mengalir mahupun bertakung.

“Masyarakat termasuk petugas banjir tidak boleh memandang ringan akan perkara ini jadi kita galakkan mereka untuk mengambil Prophylaxis di PPS yang disediakan.

“Setiap PPS kita akan tempatkan anggota dari petugas kesihatan untuk memantau mangsa banjir malah beberapa pemeriksaan juga akan dijalankan termasuk bekalan perubatan bagi pesakit yang menghidapi penyakit darah tinggi, kencing manis dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatannya di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pengkalan, di sini hari ini.

photo_2022-10-28_12-42-28
Mangsa banjir mendapatkan rawatan pemeriksaan kesihatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SMK Seri Pengkalan Alor Gajah. Foto Iqmal Haqim Rosman

Dalam pada itu, beliau berkata setiap PPS yang dibuka juga turut akan memberikan perhatian mendalam kepada golongan warga emas dan wanita mengandung bagi memastikan taraf kesihatan mereka terjamin.

“Jadi setiap kali banjir berlaku kita minta warga emas dan wanita mengandung untuk tetap terus tinggal di PPS supaya kita boleh memantau mereka dengan lebih teliti.

“Malah segala ujian rawatan berkala seperti yang dijalankan di klinik kesihatan juga akan dilaksanakan di PPS, seperti contoh jika mereka ada melakukan ‘follow up’ di klinik lain sebelum hari kejadian mereka boleh buat perkara itu di PPS yang disediakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1965
Kongsi :
Previous post Bekas Mufti Melaka meninggal dunia
Next post Pasukan MHPSS digerakkan atasi isu tekanan mental mangsa banjir di Melaka
Ubah saiz-+=