Korek pasir bantu selamatkan mangsa pokok tumbang

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

PANTAI KUNDOR 13 November – “Ketika kejadian saya hanya dengar bunyi ‘prapp’ sebelum menoleh dan melihat seorang lelaki keluar dari celahan pokok”

“Ketika itulah saya dan beberapa orang berlari sebelum menemui seorang wanita dan bayi tersembam ke pasir pantai dengan keadaan luka di kepala dan tangan.”

Itu kata, Mohamad Saiful Mohamad Ali, 35, yang merupakan saksi kejadian pokok tumbang di Pantai Puteri, lewat petang semalam.

Menurutnya, ketika kejadian, dia bersama ahli keluarga sedang duduk di gerai tepi pantai berhampiran lokasi kejadian sebelum segera tampil menghulurkan bantuan.

Katanya, kira-kira lapan pengunjung turut bersama cuba membantu mengalihkan pokok tersebut namun tidak berjaya.

Ia menyebabkan mereka terpaksa menggali pasir sedalam dua kaki untuk menyelamatkan ibu bayi berkenaan yang dalam keadaan tertiarap.

“Dalam keadaan kelam-kabut, kami mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk mengeluarkan ibu bayi berkenaan.

“Ketika kami sampai, bayi itu berada berhampiran ibunya dan ketika itu tiada tangisan didengari kerana difahamkan bayi itu sudah tidak sedarkan diri dan dipegang bapanya,” katanya kepada pemberita.

DF2D0C23-6D34-4D75-B907-798231FB2FA8
Calon BN Parlimen Tangga Batu melawat mangsa yang dihempap pokok rhu di Pantai Puteri.

Menurutnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, kejadian pokok tumbang bukanlah kali pertama berlaku, malah sebelum ini pernah menimpa gerai asam pedas milik ahli keluarganya di lokasi kejadian.

Namun, ketika itu tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu, seorang penjaga tandas awam di lokasi berhampiran, Sabarudin Mahmud, 56 berkata, tangannya pernah cedera apabila ditimpa dahan pokok rhu reput sewaktu kejadian ribut kira-kira sebulan lalu.

Pada waktu itu, dia sedang cuba menasihati pengunjung yang berkhemah untuk segera beredar, sebelum dahan pokok reput tiba-tiba jatuh dan terkena lengan kirinya.

“Sebab itu, kita minta sangat pihak berwajib untuk memantau pokok-pokok ini agar insiden itu tidak berulang lagi selepas ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2049
Kongsi :
Previous post Bayi maut: 15 pokok rhu di Pantai Puteri ditebang
Next post Percutian ke Langkawi bersama anak, menantu dan cucu tidak kesampaian
Ubah saiz-+=