PRIMA: 62 projek terbengkalai diteruskan

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

KLEBANG 30 Okt. – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meneruskan semula 62 projek daripada keseluruhan 94 Projek Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA)  yang sebelum ini terbengkalai.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, projek berkenaan diteruskan di bawah program penyelarasan semula, yang mana pihaknya hanya menyasarkan kepada projek terbengkalai yang sudah mencapai 15 peratus proses pembinaan.

Jelasnya, bagi projek yang di bawah 15 peratus atau masih di peringkat permulaan, pihaknya terpaksa menghentikan projek tersebut dan memberikan pampasan kepada pemilik-pemiliknya.

“Daripada 94 projek terbengkalai, 62 projek akan diteruskan dan baki 32 projek lagi kita hentikan.

“Projek yang dihentikan itu diambil kira selepas kita melihat kedudukan tanah sama ada ia boleh dibangunkan atau tidak.

“Yang mana kita rasa tak produktif dan tidak datangkan keuntungan, kita akan serahkan balik dan beri pampasan kepada pemilik-pemiliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Ibu Pejabat Penggerak Komuniti Negara (PKN) di Taman Klebang Utama, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi PKN Negeri Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Timbalannya Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, permohonan bagi projek Perumahan PRIMA masih terbuka walaupun tiada projek baharu diumumkan.

“Permohonan PRIMA masih dibuka sehingga Mei 2021 dan saya boleh katakan permintaannya sangat baik sepanjang tempoh COVID-19 ini.

“Kebanyakan permohonan yang diterima dan diluluskan membabitkan golongan muda, menerusi Home Ownership Campaign (HOC),” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai projek PRIMA di Melaka, Zuraida memaklumkan terdapat enam projek kembali diteruskan, manakala baki lapan projek telah ditamatkan.

Views:

623
Kongsi :
Previous post Tumpahan minyak Tanjung Tuan: Keputusan makmal diketahui minggu depan
Next post Pelancongan Melaka dikhuatiri ‘rosak’ akibat PKPB
Ubah saiz-+=