Tumpahan minyak Tanjung Tuan: Keputusan makmal diketahui minggu depan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 30 Okt. – Laporan keputusan ujian makmal berhubung isu tumpahan minyak di Tanjung Tuan baru-baru ini dijangka diketahui minggu depan.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka, Rosli Osman berkata, pihaknya masih menunggu keputusan makmal yang dijalankan pihaknya menerusi kerjasama agensi terlibat dari Melaka dan Negeri Sembilan berhubung siasatan itu.

Menurutnya, pelbagai kaedah dijalankan bagi melaksanakan ujian terbabit termasuk kaedah ‘finger print test’ dengan mengambil sampel minyak dari beberapa buah kapal yang disyaki terlibat dalam tumpahan terbabit.

“Menerusi kerjasama Jabatan Laut Malaysia, pada awal siasatan terdapat kira-kira 20 buah kapal berlabuh di perairan itu dalam tempoh kejadian itu berlaku, bagaimanapun hasil siasatan telah menyenarai terdapat empat buah kapal yang terlibat dalam insiden berkenaan.

“JAS telah mengambil sampel dari kapal terbabit dan ujian makmal sedang dijalankan, termasuk menjejaki persamaan elemen dalam minyak yang terdapat pada kapal dan laut,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Melaka Hari Ini melaporkan, perairan Tanjung Tuan bertukar hitam pada 13 Oktober lalu selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan mengesan tumpahan minyak di perairan Tanjung Tuan dan Port Dickson, Negeri Sembilan.

Tumpahan yang didakwa disifatkan terbesar tahun ini berlaku dengan anggaran hampir 10 tan metrik isi padu sisa minyak telah mencemari perairan kira-kira 1.3 batu nautika menghala ke Pulau Perjudi sehingga ke Pantai Tanjung Tuan serta Teluk Kemang.

Perkara itu dilihat serius apabila kira-kira 300 meter persegi kawasan hutan paya bakau turut dilitupi minyak hitam memerlukan kerja-kerja pembersihan dan pemuliharaan pantai

Pelbagai kaedah digunakan termasuk penggunaan alatan seperti ‘absorbent boom’ dan ‘absorbent pad’ bagi menyerap tumpahan sisa minyak di lokasi tercemar yang berlaku di penghujung sempadan negeri itu.

Views:

908
Kongsi :
Previous post Sepak mula perlawanan Kuala Lumpur dan Kuching FA dipinda
Next post PRIMA: 62 projek terbengkalai diteruskan
Ubah saiz-+=