Pelancongan Melaka dikhuatiri ‘rosak’ akibat PKPB

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KLEBANG 30 Okt. – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya diakui sebagai faktor utama
yang dikhuatiri ‘merosakkan’ pertumbuhan sektor pelancongan Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, walaupun pihaknya melakukan segala yang terdaya untuk merancakkan kembali sektor berkenaan, namun usaha itu dilihat menemui jalan buntu susulan perintah berkenaan yang menyaksikan jalan raya Melaka kekal lenggang setiap hujung minggu.

Jelasnya, banyak keluhan didengari daripada pemain industri pelancongan terutamanya peniaga dan pengusaha hotel yang kini terbeban, apabila pendapatan mereka turut terjejas akibat PKPB.

“Pelbagai mekanisme telah dilakukan seperti merendahkan harga, memperkenalkan pakej-pakej menarik, meningkatkan kualiti dan pembersihan secara berkala untuk menarik kehadiran pelancong selepas sektor ini tidak beroperasi selama hampir tiga bulan, sebelum ini.

“Saya tak tahu macam mana lagi nak buat kerana kita sudah buat macam-macam cara, apabila PKPB dilaksanakan di Lembah Klang, pelancong hujung minggu dari tiga negeri ini tidak dapat datang jadi perkara begini banyak merosakkan Melaka.

“Semasa gelombang pertama dahulu kerajaan negeri masih ada rizab yang baik jadi kita tidak terlalu terkesan teruk dan berharap tidak berlaku gelombang seterusnya, tetapi akhirnya ia berlaku juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pejabat Penggerak Komuniti Negara (PKN) oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin di Taman Klebang Utama, di sini, hari ini.

Justeru Muhammad Jailani berkata, pihaknya kini menaruh harapan tinggi agar PKPB tidak disambung, bagi membolehkan Melaka yang terkenal sebagai negeri pelancongan kembali bernafas.

“Saya percaya, jika PKPB dapat diringankan atau melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, ia dapat membantu sektor ini bangkit semula terutama menjelang musim cuti persekolahan pada November dan Disember,” katanya lagi.

Views:

519
Kongsi :
Previous post PRIMA: 62 projek terbengkalai diteruskan
Next post Belanjawan Melaka 2021: Jangan lupakan belia
Ubah saiz-+=