Ab Rauf tak jemu santuni rakyat

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

PAYA RUMPUT 3 April – Meskipun dihimpit jadual kerja yang padat, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, memanfaatkan masa yang ada di penghujung Ramadan ini, untuk turun padang bagi meluangkan masa menyantuni rakyat.

Terbaharu Ketua Menteri, hadir ke Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Peringkat Parlimen Tangga batu di Masjid Ar-Rahman, Krubong, di sini, petang tadi.

Pada majlis itu Ketua Menteri meluangkan masa menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 700 individu sebelum berbuka puasa bersama jemputan yang hadir ke majlis tersebut.

Turut mengiringi Ketua Menteri menyampaikan sumbangan adalah Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput.

Terdahulu Ketua Menteri dalam ucapannya berkata, sumbangan tersebut adalah sebagai tanda penghargaan kepada pihak-pihak berkenaan yang banyak berkorban masa dan tenaga dalam bersama-sama menyokong pembangunan Negeri Melaka.

Ketika berucap, Ketua Menteri turut mengingatkan barisan kepimpinan semua peringkat agar terus bekerja dengan lebih kuat dalam memastikan perkhidmatan yang disediakan dirasai rakyat hingga ke peringkat akar umbi.

“Teruskan membantu pihak yang menghadapi kekangan dalam menyara kehidupan sehingga mereka benar-benar dapat merasai kehadiran kita.

“Daripada sudut sebagai seorang pemimpin Kerajaan Negeri Melaka, saya menekankan bahawa kejayaan dan kemajuan kita sebagai sebuah negeri tidak mungkin dicapai tanpa adanya kerjasama yang kukuh antara kita semua.

“Marilah berjuang bersama saya dan berkhidmat untuk rakyat dengan sebaik-baiknya sekali gus membawa Melaka mencapai pada tahap yang jauh lebih baik,” kata Ketua Menteri.

Antara penerima sumbangan pada majlis itu adalah 260 individu dalam kalangan pengerusi masjid, pegawai-pegawai Syarak dan sidang selain bantuan RM1,000 kepada 26 buah masjid dalam Parlimen Tangga Batu.

Pada majlis sama Ketua Menteri turut menyampaikan sumbangan raya berjumlah RM8,000 berserta kit makanan kepada 83 pengamal media yang telah banyak menyebar luas berita sahih tentang kehebatan Negeri Melaka.

“Saya mengucapkan segunung terima kasih kepada sahabat pengamal media kerana tanpa media mustahil untuk negeri Melaka dikenali sehingga ke seluruh pelosok dunia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

228
Kongsi :
Previous post Aidilfitri: Keluarga dibenar lawat penghuni penjara pada raya ketiga, keempat
Next post 500 pelita sambut kepulangan anak rantau
Ubah saiz-+=