500 pelita sambut kepulangan anak rantau

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

SUNGAI RAMBAI 4 April – Lebih 500 pelita dipasang di Kampung Sungai Rambai Timur, di sini, seakan menambah seri Ramadan dan Syawal tahun ini.

Panjut atau pelita pelbagai bentuk itu merupakan cetusan kreativiti penduduk kampung pelbagai peringkat umur yang mana ia dihasilkan menggunakan lebih 50 batang buluh serta barangan terpakai.

Penyelaras Panjut Raya Kampung Sungai Rambai Timur, Akmal Mistar berkata, pemasangan pelita itu merupakan acara tahunan dilakukan penduduk kampung bertujuan menyambut kepulangan anak rantau pada Aidilfitri kali ini.

Selain itu, katanya, hiasan berkenaan turut dilakukan bagi menghidupkan kembali tradisi masyarakat Melayu menjelang ketibaan 1 Syawal iaitu hari kemenangan umat Islam.

“Kami seboleh-bolehnya mahu bahang kemeriahan Syawal itu dirasai seluruh penduduk kampung dan anak rantau yang akan pulang ke desa.

“Alhamdulillah, kami berjaya menyiapkan hiasan ini secara bergotong-royong dan menariknya ia bukan hanya dilakukan oleh otai-otai (orang lama), bahkan turut dibantu anak-anak muda di kampung ini.

“Golongan belia jugalah yang banyak menyumbang dari sudut tenaga dan idea yang mana mereka terlibat dalam proses menebang buluh di hutan dan turut membantu memasang hiasan berkenaan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Lebih manis, hiasan berkenaan turut dipilih sebagai pemenang Pertandingan Pelita Raya Melaka bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Selaku johan, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Rambai Timur membawa pulang hadiah kemenangan RM3,000 yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada majlis perasmian penutup Festival Kuih Tradisional Aidilfitri dan Pelita Raya Melaka 2024 di Dataran Riverside Sungai Rambai, di sini, baru-baru ini.

Img 20240404 Wa0001
PENDUDUK Kampung Sungai Rambai Timur bergambar bersama Adun Sungai Rambai Siti Faizah Abd Azis berlatarbelakangkan hiasan pelita bertemakan masjid.

Menurut Akmal, ia merupakan kejuaraan kedua diraih kampung berkenaan dalam tempoh tiga tahun apabila turut muncul johan pada tahun 2022.

Baginya, pertandingan berbentuk kemasyarakatan seumpanya wajar diteruskan dalam memperkukuh hubungan sesama penduduk, selain ia juga mampu mengembalikan semula tradisi menjelang raya yang kini semakin dilupakan.

“Pertandingan ini bukan sahaja dapat menyemarakkan lagi suasana hari raya, malah ia juga memberi pendedahan kepada anak muda kepada tradisi yang kian dilupakan seperti memasang dan menyusun pelita panjut menjelang hari raya.

“Jika dahulu, acara sebeginilah yang dapat memupuk kerjasama, selain memperkukuh hubungan silaturahim sesama keluarga, jiran dan penduduk kampung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

90
Kongsi :
Previous post Ab Rauf tak jemu santuni rakyat
Next post Op Khas HRA 2024: JPJ keluarkan 14,683 notis pelbagai kesalahan
Ubah saiz-+=