
WANITA PERLU MAIN PERANAN JAGA WARISAN MELAKA GEOPARK – KALSOM
BANDARAYA MELAKA 22 Mei – Kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya wanita terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar dan kelestarian warisan negeri terus diperkukuh melalui pelbagai program berasaskan komuniti.
Program Kesedaran Awam Komuniti Wanita Aspiring Melaka Geopark 2026 menjadi antara inisiatif yang memberi tumpuan kepada pendedahan mengenai kepentingan menjaga warisan alam, budaya serta pembangunan lestari di kawasan Melaka Geopark.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, program seperti itu memainkan peranan penting dalam memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap nilai warisan negeri.
Menurutnya, Melaka Geopark merupakan aset penting negeri yang bukan sahaja mempunyai nilai geologi dan alam semula jadi, tetapi mencerminkan identiti, sejarah serta warisan yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang.
“Melaka Geopark merupakan aset penting kepada Negeri Melaka. Ia bukan sekadar kawasan yang mempunyai nilai geologi dan alam semula jadi, tetapi menjadi lambang identiti, sejarah dan warisan yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Kesedaran Awam Komuniti Wanita Aspiring Melaka Geopark 2026 di sebuah hotel di sini, semalam.
Tambahnya, penglibatan komuniti setempat khususnya golongan wanita amat penting dalam menjayakan aspirasi pembangunan geopark termasuk dalam perancangan serta pembangunan geotapak di kawasan berkenaan.
“Kerajaan Negeri sentiasa komited memperkasa golongan wanita melalui pelbagai program pembangunan komuniti, keusahawanan, pendidikan dan kesedaran awam.
“Kita mahu melihat lebih ramai wanita tampil aktif dalam aktiviti komuniti, pelancongan geopark, ekonomi kreatif dan perusahaan kecil yang mampu meningkatkan taraf hidup keluarga dan masyarakat setempat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

