BUDAYA, SEJARAH MELAKA TARIK JENAMA FESYEN BUKA CAWANGAN

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

PENGKALAN BATU 24 November – Kekayaan budaya dan warisan sejarah Melaka menjadi antara faktor sebuah jenama fesyen tempatan memilih negeri ini sebagai lokasi pengembangan perniagaan menerusi pembukaan cawangan fizikal ke-26.

Ketua Pemasaran Bayu Somerset, Dania Kamalul berkata, pemilihan Melaka selari dengan pendekatan jenama itu yang menggabungkan inspirasi budaya dengan sentuhan moden dalam penghasilan rekaan pakaian.

Menurutnya, pembukaan cawangan berkenaan juga sebahagian daripada perancangan syarikat untuk memperluas rangkaian kedai fizikal ke setiap negeri di Malaysia.

“Kenapa kami memilih Melaka kerana kami mahu terus mengembangkan rangkaian kedai fizikal dan menyasarkan untuk membuka cawangan di setiap negeri.

“Melaka pula antara negeri yang kaya dengan budaya dan terkenal dengan warisan sejarahnya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran rasmi cawangan berkenaan di sebuah pusat beli-belah di Taman Lagenda, di sini.

Dania berkata, kehadiran kedai fizikal turut memberi kemudahan kepada pelanggan untuk melihat serta mencuba pakaian secara langsung sebelum membuat keputusan pembelian, berbanding hanya bergantung kepada platform dalam talian sebelum ini.

Katanya, pihaknya mendapati masih terdapat permintaan terhadap kedai fizikal, khususnya dalam kalangan pelanggan yang mahu memastikan kesesuaian potongan dan saiz pakaian.

Mengulas perkembangan perniagaan, Dania berkata, permintaan terhadap pakaian harian turut mendorong syarikat memperluas pilihan produk selain pakaian tradisional seperti baju kurung.

Menurutnya, guru dan penjawat awam antara golongan pelanggan yang mendapatkan pakaian sesuai untuk kegunaan bekerja dan aktiviti seharian.

“Kami bermula dengan baju kurung. Sekarang, kami juga menawarkan pakaian harian kerana pelanggan datang mencari pakaian untuk kegunaan seharian mereka.

“Antara pelanggan kami ialah guru dan penjawat awam dan mereka memang perlu membeli pakaian untuk kegunaan harian. Di situlah kami cuba mengisi ruang dalam pasaran,” katanya.

Mengulas cabaran mengembangkan perniagaan dalam keadaan ekonomi semasa, Dania berkata, syarikat melihat masih terdapat permintaan pelanggan, selain peluang yang ditawarkan pengendali pusat beli-belah bagi pembukaan cawangan baharu.

Cawangan itu menawarkan hampir 200 rekaan merangkumi pakaian wanita, lelaki dan kanak-kanak serta selendang, dengan koleksi wanita tersedia dalam saiz XXS hingga 5XL.

Antara pilihan rekaan ditawarkan termasuk baju kurung Kedah, kebarung dan kebaya, selain pakaian harian yang disesuaikan dengan keperluan pelanggan daripada pelbagai golongan.

Bayu Somerset yang memulakan operasi secara dalam talian pada 2021 menyasarkan pembukaan 32 cawangan di seluruh negara menjelang akhir 2026.

Majlis pelancaran cawangan itu turut diserikan dengan persembahan penyanyi kelahiran Melaka, Ayda Jebat atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat yang menyampaikan dua lagu, Pencuri Hati dan Temberang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

376
Kongsi :
Previous post SISTEM PELESENAN BECA MELAKA JADI IKUTAN NEGERI LAIN
Next post DARI MASJID KE SURAU, RAIS SUSUN LANGKAH PERKASA AGENDA AGAMA DI MELAKA